JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Selangor Tahan Empat Individu, Rampas 300 Kg Ikan Bernilai RM400,000

08/02/2026 08:15 PM

SHAH ALAM, 8 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan empat individu dan merampas 300 kilogram (kg) ikan campur bernilai RM400,000 susulan pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan tempatan di sekitar perairan Selangor semalam.  

Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan dilakukan kira-kira 11.20 pagi menerusi operasi bersepadu bersama Jabatan Perikanan Selangor di kedudukan 8.4 batu nautika barat daya Sungai Besar dekat sini. 

“Pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong lelaki warga tempatan berusia 50 tahun bersama tiga awak-awak warga asing berumur antara 39 hingga 51 tahun, yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati, bot itu melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985, termasuk penggunaan mata pukat kurang 38 milimeter serta menggaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Abdul Muhaimin berkata kesemua kru bersama bot dan hasil rampasan dipercayai dilakukan secara tidak sah itu diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2521639