GAYA HIDUP

T. M. Krishna Bawa Muzik Karnatik Ke Kuala Lumpur 22 Feb Ini

29/01/2026 07:35 PM

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Penyanyi klasik tersohor India, T.M Krishna akan mengadakan sebuah konsert muzik klasik TM Krishna and Friends di Auditorium Shantanand di sini pada 22 Feb depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, penganjurnya Aakaar Foundation dan Roots Entertainment berkata konsert akan menggabungkan persembahan, dialog dan tradisi bagi meraikan muzik klasik India sebagai bentuk seni yang hidup dan sentiasa berkembang.

“Acara pada malam tersebut menyatukan muzik klasik dan dialog, menghormati tradisi yang berakar umbi sambil menggalakkan penonton berinteraksi dengan bentuk seni ini dalam cara yang baharu dan bermakna,” menurut kenyataan itu.

Krishna diiktiraf secara meluas atas integriti seninya serta keberaniannya mencabar sempadan konvensional dalam tradisi karnatik, baik di India ataupun peringkat antarabangsa.

pic-2

Selain persembahan, beliau juga dikenali kerana menilai semula format konsert dan mengupas persoalan sosial serta budaya, sambil kekal berpegang teguh pada estetika klasik.

Konsert itu turut menampilkan penerima anugerah Padma Shri, iaitu Kaleeshabi Mahbood Subhani yang memainkan nadaswaram - alat muzik tiupan berkuasa dari India Selatan; pemain biola Akkarai Sornalatha; pemain tavil T.R Govindarajan, iaitu dram berbentuk tong dari India Selatan; serta pemain kanjira Shri Sundar Kumar yang memainkan dram bingkai kecil dari India Selatan.

Tiket konsert kini dijual di platform Ticket2u.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518333