GAYA HIDUP

Julfekar Hasilkan Album Berbilang Bahasa Angkat Warisan Etnik Sabah

28/01/2026 04:01 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Usaha memelihara dan mempromosi kepelbagaian bahasa etnik di Sabah terus diperkukuh menerusi penghasilan album kompilasi berbilang bahasa bertajuk Min Yasmin & Sabahans yang dijangka dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Projek itu digerakkan oleh komposer dan penerbit lagu terkenal Julfekar Ahmad Shah, atau BroJul, dengan kerjasama penyanyi berbilang bahasa Min Yasmin, yang menggunakan muzik sebagai medium untuk menyampaikan mesej penyatuan, pemeliharaan warisan budaya serta nilai sejagat.

“Setakat ini, empat buah lagu berserta video muzik dalam bahasa Bajau Samah Semporna, Dusun, Bisaya dan Iranun telah disiapkan dan dipersembahkan kepada umum menerusi saluran Julfekar Music Channel, manakala tujuh lagi lagu dalam bahasa etnik lain dijangka menyusul dalam masa terdekat,” kata Julfekar dalam kenyataan hari ini.

pic-2

Beliau berkata album berkenaan merangkumi 11 buah lagu yang menampilkan kolaborasi Min Yasmin bersama-sama dengan 11 penyanyi daripada pelbagai etnik di Sabah.

Antara etnik yang terlibat ialah Kadazan, Dusun, Bajau Samah Pantai Barat, Sungai, Brunei, Rungus, Murut, Suluk, Iranun, Bajau Samah Pantai Timur dan Bisaya, sekali gus mencerminkan kepelbagaian etnolinguistik negeri itu.

Album Min Yasmin & Sabahans diterbitkan oleh Julfekar, dengan lirik lagu ditulis oleh penulis tempatan daripada pelbagai latar bahasa etnik di Sabah.

“Menerusi muzik, usaha ini bertujuan mengangkat dan menghormati warisan budaya serta bahasa etnik agar terus dipelihara dan difahami oleh generasi akan datang melalui pendekatan yang bersifat universal,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517778