GAYA HIDUP

Ebi Kornelis Perjuang Budaya, Identiti Sabah Dalam Karya Filem

26/01/2026 11:29 AM
Daripada Marfika Adnan Haris Fadzilah

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Kejayaan filem sulungnya Syurga Dalam Botol yang mencatat kutipan melebihi RM1.8 juta bukan sekadar angka membanggakan buat Ebi Kornelis, tetapi turut menjadi pembakar semangat untuknya terus berani menghasilkan karya yang dekat dengan realiti masyarakat.

Bagi Ebi, filem tidak seharusnya wujud semata-mata untuk mengejar kutipan atau mengikut formula cinta klise,  sebaliknya, naskhah berat yang mengangkat isu kemanusiaan seperti perjuangan anak-anak tanpa negara di Sabah yang diketengahkan dalam Syurga Dalam Botol  turut mempunyai tarikan tersendiri jika disampaikan dengan jujur.

Pemilik nama penuh Ebi Kornelis Firdaus Yaima ini sebenarnya mengorak langkah dalam industri seni sebagai penyanyi dan pelakon terlebih dahulu sebelum melebarkan sayap ke layar pengarahan dan kini nekad menjadikan filem sebagai wadah memperjuangkan budaya dan identiti tempatan. 

Sebagai anak jati Negeri Bawah Bayu, Ebi percaya sesebuah karya yang kuat lahir daripada kefahaman mendalam terhadap latar dan budaya pembikinnya sendiri, justeru, Sabah menjadi fokus utama dalam perjalanan seninya.

“Saya orang Sabah, memang saya akan fokus pada cerita Sabah sebab ia dekat dengan saya dan dunia itu yang saya faham. Selagi masih ada cerita yang belum diangkat dan budaya yang perlu dipertahankan, saya akan terus berkarya.

pic-2

“Namun, saya tidak menolak jika diberi peluang menghasilkan karya yang lebih komersial,” katanya kepada Bernama sambil menambah kekuatan cerita dari Sabah bukan hanya terletak pada dialek atau latar tempat, sebaliknya hubungan rapat masyarakatnya dengan alam yang membentuk konflik dan realiti kehidupan seharian.

Mengulas kejayaan Syurga Dalam Botol, Ebi berkata filem yang turut dibintangi Kenneth Torrecampo Oliver, Dg Hasnah, Sharizan Tahir, Quzhairil Lona Walawd, Selhan Ramon dan Abdul Kams Sainali ini dihasilkan dengan kos sekitar RM500,00 sahaja. 

Kejayaan itu menurutnya, menuntut pengorbanan besar sepanjang proses produksi termasuk keputusan untuk mengetepikan kepentingan peribadinya.

“Dengan bajet RM500,000 itu, saya betul-betul ‘all out’ untuk pastikan semua keperluan mencukupi termasuk mengambil gaji separuh sahaja...Pengalaman ini membuktikan kekangan kos bukan penghalang hasilkan karya yang baik, jika pengarah dan pasukan produksi jelas dengan keutamaan cerita.

“Dalam pembikinan sesebuah filem, kos memainkan peranan penting kerana apabila kita ada belanja besar, kualiti (filem akan) lebih terjamin,” katanya.

pic-3

Ditanya perkembangan terbaharunya, Ebi berkata beliau bakal mengarahkan dua super telefilem antaranya, Di Sebalik Podium yang mengisahkan perjalanan hidupnya sendiri sebagai bekas atlet termasuk detik kejayaan Sabah meraih pingat emas dalam acara 4x100 meter pada Sukan Malaysia. 

“Di Sebalik Podium ini, saya akan bertindak sebagai penulis skrip, penerbit dan pengarah selain turut sama berlakon. (Selain itu) antara idea yang sedang difikirkan ialah mencuba genre komedi. Bagi saya, komedi adalah genre paling sukar kerana tidak semua orang mampu membuat penonton ketawa,” katanya. 

Berkenaan dengan dunia nyanyiannya yang pernah menjadi sebahagian besar perjalanan awal seninya, Ebi berkata fokusnya kini lebih tertumpu pada pembikinan filem dan drama.

“Minat menyanyi sekarang sudah berkurangan kerana saya tidak gemar melakukan banyak perkara dalam satu masa. Ketika menghasilkan filem pertama, saya sanggup mengetepikan semua tawaran lain demi memberi tumpuan penuh kepada satu projek,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516735