GAYA HIDUP

Bella Dowanna Percaya Setiap Pelakon Muda Ada Perjalanan Sendiri

27/01/2026 11:05 AM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Membintangi lebih daripada 30 drama termasuk telefilem sejak berusia enam tahun, kehadiran pelakon dan model, Bella Dowanna dalam persada hiburan tempatan masih belum benar-benar menggamit perhatian meskipun hampir dua dekad dalam industri.

Biarpun bakat anak kelahiran Ipoh, Perak berusia 23 tahun ini pernah mencuri tumpuan menerusi watak Laura dalam drama bersiri berkonsepkan persahabatan, Budak Tebing pada 2020, namun peluang yang hadir selepas itu dilihat tidak seiring dengan jangkaan. 

Ketidaktentuan ini membuatkan pemilik nama Qystinna Istajibilla Dowanna Halim mula diselubungi rasa ragu terhadap kemampuan diri selain persoalan mengenai hala tuju kerjayanya dalam industri hiburan.

Pelakon muda yang juga pengacara ini, merasakan dirinya belum berada pada tahap diharapkan namun menganggapnya sebagai rencah kehidupan sebagai anak seni. 

“Saya pernah berada dalam fasa (yang membuatkan saya) rasa seperti saya belum sampai. Ada masa saya rasa tidak dipanggil dan belum cukup relevan, sampai membuatkan saya tertanya-tanya tentang hala tuju sendiri. Tetapi, saya percaya itu sebahagian daripada perjalanan setiap pelakon,” katanya.

Ditemui media selepas dilantik sebagai duta pakaian raya Jakel 2026 di sini baru-baru ini, Bella yang pernah menjayakan filem ngeri jenayah psikologi Malaysia, M4M4 bersama-sama dengan pelakon hebat Nabila Huda, berkata fasa ketidaktentuan itu bagaimanapun, mengajarnya erti kesabaran dan kepercayaan akan proses diri.

“Setiap pelakon ada laluan dan fasa masing-masing. Ada yang cepat, ada yang perlahan dan saya percaya proses itu berbeza untuk setiap individu. Yang penting adalah terus berusaha, percaya dengan rezeki sendiri dan tidak membandingkan perjalanan kita dengan orang lain,” katanya.

Mengulas pelabelan tertentu yang sering dikaitkan dengan pelakon muda, Bella berkata proses peralihan daripada fasa awal ke tahap lebih matang sebagai anak seni memerlukan masa, disiplin dan kesabaran selain usaha membina kredibiliti secara konsisten dalam setiap tugasan diberikan.

Dalam masa sama, aktres ini turut mengakui pelakon muda tidak terkecuali daripada berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan kepercayaan dan penghormatan di lokasi penggambaran, namun Bella memilih melihat pengalaman itu sebagai sebahagian proses pembelajaran yang mematangkan dirinya dalam industri.

“Ada masa, pendapat kita tidak diambil serius kerana usia, tetapi, saya percaya hormat itu datang dengan cara kita membawa diri dan bekerja. Kalau kita hormat orang lain, insya-Allah kita juga akan dihormati,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517185