PASARAN

Pasaran Getah Ditutup Lebih Tinggi

28/01/2026 06:25 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi hari ini, disokong oleh jangkaan mengenai bekalan yang semakin berkurangan, kata seorang peniaga.

Menurut peniaga itu, pengeluaran getah di utara Thailand, Vietnam dan Ivory Coast mula berkurangan apabila pokok getah memasuki musim kurang produktif, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai ketersediaan bekalan jangka pendek.

Beliau berkata harga minyak mentah yang lebih tinggi turut meningkatkan sentimen pasaran. 

“Harga minyak mentah melonjak susulan ribut salji di Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan sehingga 15 peratus daripada pengeluaran minyak negara, sekali gus meningkatkan sentimen merentasi pasaran komoditi,” katanya kepada Bernama. 

Ketika ini, minyak mentah Brent meningkat 0.04 peratus kepada US$67.60 setong. 

Bagaimanapun, beliau berkata, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dan data ekonomi AS yang lebih lemah. 

“(Bulan ini) keyakinan pengguna AS susut ke paras terendah dalam tempoh lebih 11 tahun, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai perbelanjaan isi rumah dan permintaan hiliran,” katanya. 

Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat sembilan sen kepada 753 sen sekilogram, manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 575 sen sekilogram. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517878