AM

Gua Tempurung Bakal Dibangun Sebagai Hab Ekopengembaraan Bertaraf Antarabangsa

28/01/2026 04:35 PM

IPOH, 28 Jan (Bernama) -- Gua Tempurung yang merupakan satu daripada aset pelancongan ikonik Perak bakal diperkasakan sebagai hab ekopengembaraan bertaraf antarabangsa menerusi pemeteraian perjanjian konsesi selama 21 tahun antara Majuperak Holdings Berhad (MHB) dan Majlis Daerah Kampar (MDK).

Pengerusi MHB Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata perjanjian itu melibatkan kawasan seluas 32.1 hektar bagi memastikan pengurusan serta pembangunan tapak ekopelancongan berkenaan dilaksanakan secara lebih tersusun, selamat dan mampan.

Beliau berkata pembangunan berkenaan juga adalah langkah strategik kerajaan negeri untuk memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pelancongan utama di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Pembangunan Gua Tempurung berasaskan keseimbangan antara pemeliharaan khazanah geologi dan ekosistem gua dengan aktiviti ekonomi menerusi pendekatan ‘Inside–Outside’, iaitu kawasan dalam gua terus dipelihara manakala kawasan luar diaktifkan secara terkawal.

"Pembangunan luaran merangkumi aktiviti lasak termasuk litar basikal lasak, sukan mendaki bertaraf dunia mengikut piawaian antarabangsa, perkhemahan mewah serta kemudahan sokongan pelancongan bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian konsesi antara MHB dengan MDK di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin dan Yang Dipertua MDK Ahmad Zuqairy Alias.

Sementara itu, Muhammad Yazurin Sallij berkata MHB akan membangunkan Gua Tempurung secara berfasa menerusi pelaksanaan pelan induk, dengan tumpuan awal terhadap aspek keselamatan kawasan berkenaan.

"Fasa pertama yang melibatkan tahun pertama pembangunan akan memberi penekanan kepada penyediaan pelan induk serta pelaksanaan kajian dan tinjauan keselamatan oleh perunding bertauliah.

"Dalam tempoh sama, konsep pembangunan seumpama Tasik Cermin akan diterapkan dengan Gua Tempurung dijadikan ikon utama, di samping penganjuran aktiviti pelancongan di kawasan luar gua bagi menarik kehadiran pengunjung," katanya.

Beliau berkata satu jawatankuasa bersama MDK dan pihak berkepentingan lain akan ditubuhkan bagi memastikan semak dan imbang pengurusan tapak.

"Pembangunan Gua Tempurung dirancang dalam tiga fasa iaitu penyediaan pelan induk, pembangunan fizikal dan usaha menaik taraf destinasi itu ke tahap bertaraf dunia," katanya sambil menambah nilai pelaburan projek itu masih belum dapat ditentukan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517796