KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kejayaan sebanyak 115 jurutera lulus dalam Peperiksaan Kecekapan Profesional (PCE) 2025 yang sekali gus melayakkan mereka memohon pendaftaran sebagai Jurutera Profesional dengan Sijil Amalan (PEPC), memperkukuh reputasi profesion kejuruteraan negara, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sambil merakamkan ucapan tahniah kepada yang berjaya, Nanta berkata pencapaian itu mencerminkan tahap kompetensi, profesionalisme serta keupayaan tinggi jurutera tempatan dalam memenuhi piawaian kejuruteraan yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Daripada 583 calon yang menduduki peperiksaan ini secara serentak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, 115 calon telah berjaya melepasi tahap kelulusan yang ditetapkan.
"Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan para calon, malah turut memperkukuh reputasi profesion kejuruteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Peperiksaan berkenaan dijalankan pada 25 Okt 2025 bagi Kertas 1 (Common Paper) dan 26 Okt bagi Kertas 2 (Discipline-Specific Paper), manakala keputusan peperiksaan diumumkan secara rasmi oleh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) pada 22 Jan lepas dan boleh disemak melalui portal https://engineer.org.my.
Nanta berkata peperiksaan kecekapan profesional yang dikendalikan oleh LJM itu turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus memastikan jurutera Malaysia memiliki kelayakan dan kompetensi setara dengan standard global.
Beliau berkata di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138), LJM memainkan peranan penting dalam mengawal selia profesion kejuruteraan, menilai tahap profesionalisme serta memastikan keselamatan awam dan kepentingan negara sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan lebih ramai jurutera profesional tempatan menduduki PCE sebagai langkah penting untuk meningkatkan kerjaya, memperkukuh kredibiliti profesional serta menyumbang kepakaran kepada pembangunan negara.
"Kerajaan melihat keperluan untuk melahirkan lebih ramai jurutera profesional berdaftar bagi menyokong agenda pembangunan negara yang mampan. Sehubungan itu, jurutera yang layak diseru agar merebut peluang ini dan berani melangkah ke tahap profesional yang lebih tinggi,” katanya.
Bagi calon yang tidak berjaya dalam PCE 2025, rayuan boleh dikemukakan kepada LJM selewat-lewatnya 6 Feb ini dan semua rayuan akan dipertimbangkan secara telus mengikut garis panduan sedia ada.
Sementara itu, permohonan bagi PCE 2026 akan dibuka mulai 1 April hingga 31 Ogos depan melalui sistem permohonan dalam talian LJM, dengan maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui portal rasmi saluran komunikasi LJM.
-- BERNAMA