PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi pasukan penguat kuasa untuk mengesahkan kesediaan mereka memikul amanah dan tanggungjawab atau memilih untuk bertukar ke jawatan lain.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kesediaan untuk terus menggalas tanggungjawab itu boleh disampaikan kepada beliau sendiri, menteri atau ketua jabatan masing-masing.
“Jika sudah diamanahkan tetapi merasakan tanggungjawab itu sukar dilaksanakan kerana cabarannya terlalu besar, ujian berat, atau minat dan tarikan pelawaan lain terlalu kuat.
“Saya syorkan, ia dimaklumkan dalam tempoh seminggu kepada ketua jabatan, kepada saya sendiri, atau menteri. Beritahu kita belum bersedia untuk memikul amanah ini.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis amanat majlis amanat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa yang berhubungan dengan jenayah kewangan di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Datuk Seri Shamsun Baharin Mohd Jamil.
Anwar berkata individu yang tidak bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin seharusnya memberi laluan kepada mereka yang benar-benar ikhlas dan mampu untuk menjalankan amanah tersebut.
“Jadi, saya harap dalam tempoh seminggu ini kita benar-benar bermuhasabah dan merenung bersama. Jika sanggup memikul amanah, mengapa perlu bertukar ke jawatan lain?
“Saya akan menghormati keputusan mereka yang memilih untuk berundur atau berpindah ke jawatan lebih rendah, namun bagi yang sudi memikul tanggungjawab lebih besar, dalam tempoh seminggu ini lakukan tugas sebaik mungkin,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan MADANI tidak akan sesekali mengizinkan sebarang aktiviti salah laku atau penyeludupan berlaku secara terang-terangan, sambil menekankan keperluan semua pihak bekerja sebagai satu pasukan dan menyelesaikan masalah secara bersama.
“Pemegang jawatan tinggi, mereka yang bergelar ‘bintang-bintang gemerlapan’ ini bukan calang-calang individu, telah berkhidmat puluhan tahun dan menerima pengiktirafan sekian lama. Ia seharusnya mendorong kita melakukan sesuatu yang benar dan bijak, bukan mengambil sikap sambil lewa,” kata beliau.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Anwar berkata kenyataannya itu merupakan satu amaran keras kepada semua pihak.
-- BERNAMA