PETALING JAYA, 28 Jan (Bernama) -- Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters dan Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor dijangka bantu capai sasaran sembilan juta pelancong sempena kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) 2026, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata penganjuran kejohanan sukan seperti itu adalah satu elemen sukan pelancongan yang bukan sahaja melibatkan aktiviti sukan tetapi kemudahan dan industri lain.
“Acara seperti ini turut merangsang sektor hospitaliti termasuk hotel, pengangkutan, makanan dan minuman serta pelbagai industri sokongan lain. Impaknya memberi manfaat menyeluruh kepada ekonomi dan pelancongan negeri.
“Berdasarkan pengalaman saya bermain (golf) di Selangor, saya dapat melihat kehadiran pemain melibatkan pelancong asing dari Korea Selatan, Jepun, negara Eropah dan negara jiran yang bermain di sini, dan kejohanan ini akan menambah lagi minat untuk mencapai sasaran sembilan juta pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media PKNS Selangor Masters di Kelab Golf Seri Selangor di sini hari ini, selain berkata lebih 2,000 penonton dijangka membanjiri lokasi kejohanan.
Baru baru ini, Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Datuk Ng Suee Lim berkata Selangor menyasarkan kehadiran sembilan juta pelancong pada tahun ini sempena kempen TMS 2026.
Beliau berkata jumlah itu disasarkan lebih tinggi berbanding kempen TMS 2025 iaitu lapan juta pelancong sepanjang tahun berkenaan.
Dalam pada itu, Amirudin ketika mengulas mengenai PKNS Selangor Masters 2026 berkata ia akan menjadi pembuka tirai bagi kempen Jelajah Pembangunan Asia (ADT) yang akan berlangsung pada 11 hingga 14 Feb ini.
Beliau berkata kejohanan berprestij yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan melebihi RM685,000 itu akan disertai 144 pemain terdiri daripada peserta ADT, Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) serta pemain jemputan yang akan merebut tiket secara merit untuk ke ADT tahun depan.
Malaysia akan dibarisi oleh Shahriffuddin Ariffin, Marcus Lim, Khavish Varadan dan Ervin Chang pada kejohanan berkenaan.
Selain itu, juara bertahan dari Thailand Tawit Polthai dijangka beraksi selain bintang muda seperti Carl Jano Corpus dan Aidric Chan dari Filipina, Sam Broadhurst (England), Minhyeok Yang (Korea) dan Kartik Singh (India) turut memberi tentangan sengit pada PKNS Selangor Masters.
-- BERNAMA