KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak merancang untuk membina stadium olahraga bertaraf antarabangsa baharu buat masa ini, sebaliknya menumpukan kepada usaha menaik taraf kemudahan sedia ada sebagai persiapan menghadapi penganjuran Sukan SEA 2027.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata keputusan itu diambil berdasarkan fakta bahawa kemudahan sedia ada seperti Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) masih berada pada tahap terbaik dan memenuhi piawaian ditetapkan.
“Kerajaan telah membuat keputusan untuk menaik taraf kemudahan sukan sedia ada bagi memastikan venue berada dalam keadaan terbaik menjelang penganjuran temasya tahun hadapan.
“Pendekatan ini lebih sesuai bagi mengoptimumkan penggunaan fasiliti secara ekonomi dan berkesan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai keputusan Malaysia untuk tidak membina stadium olahraga baharu dan universiti khusus sukan bagi memastikan atlet negara tidak ketinggalan di pentas antarabangsa.
Mengenai cadangan universiti sukan, Mordi berkata buat masa ini institusi pendidikan tinggi (IPT) sedia ada di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah memadai untuk menawarkan bidang pengajian sukan secara berperingkat mengikut keperluan.
Berdasarkan statistik semasa, beliau berkata sebanyak enam institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan lima institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara menawarkan kursus berkaitan bidang tersebut.
“Statistik terkini mencatatkan enrolmen dalam kalangan warganegara bagi peringkat Sarjana Muda dalam bidang sukan ialah sebanyak 4,016 pelajar di IPTA dan 710 pelajar di IPTS.
“Bagi menyokong pengajian atlet, KBS menawarkan Biasiswa Sukan Persekutuan yang telah memanfaatkan 1,349 penerima hingga 2025, dan inisiatif ini akan diteruskan pada 2026 dengan peruntukan sebanyak RM2 juta,” katanya.
-- BERNAMA