AM

Bekas Pengerusi Majlis Peguam Selangor Sokong Pulih Fungsi Kehakiman Di Bangunan Sultan Abdul Samad

28/01/2026 11:30 AM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Gesaan Majlis Peguam Malaysia untuk memulihkan fungsi kehakiman di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, akan menghormati kesinambungan sistem keadilan negara serta memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.

Bekas Pengerusi Majlis Peguam Selangor Kokila Vaani Vadiveloo berkata bangunan bersejarah berkenaan begitu bermakna bagi komuniti undang-undang dan orang awam, kerana kaitannya dengan kehakiman serta detik penting dalam perkembangan perlembagaan Malaysia, sejak sekian lama.

“Mengembalikan fungsi kehakiman ke Bangunan Sultan Abdul Samad akan menjadi langkah   bermakna untuk menghormati kesinambungan sistem keadilan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Kokila berkata langkah itu juga dapat membantu menghubungkan semula kehakiman dengan ruang yang melambangkan autoriti, kestabilan dan kepercayaan orang awam, sambil memastikan bangunan warisan berkenaan kekal sebagai sebahagian daripada amalan sivik dalam kehidupan dan tidak hanya dipelihara sebagai monumen.

"Dengan perancangan yang baik, Bangunan Sultan Abdul Samad boleh memenuhi keperluan kehakiman moden sambil mengekalkan ciri warisannya, membolehkan Malaysia maju sambil mengekalkan  sejarah perundangan,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Parlimen Bar Council Ad Hoc itu.

Beliau berkata bangunan itu juga terletak di lokasi yang strategik dan boleh diakses menggunakan  pengangkutan awam, sekali gus menyokong usaha berterusan untuk menambah baik akses kepada keadilan.

Selain itu, Kokila berkata bangunan itu sesuai untuk menempatkan semula Mahkamah Persekutuan, memandangkan badan kehakiman ini sekarang mempunyai 14 hakim.

“Ini membolehkan institusi kehakiman di Malaysia diiingati melalui mercu tanda dan detik bersejarah yang ikonik,” katanya sambil menambah mahkamah khusus, termasuk mahkamah hak asasi manusia, juga boleh diperkenalkan secara berperingkat di lokasi itu.

Secara peribadi, Kokila berkata pengalaman sering mengunjungi bangunan berkenaan meninggalkan kesan yang amat mendalam buat beliau.

“Saya sering mengikuti arwah ayah saya ke bangunan mahkamah lama itu. Bangunan itu mengingatkan saya bahawa mahkamah ialah tempat undang-undang dan ketenteraman harus sentiasa diutamakan,” katanya.

Semalam, Majlis Peguam menggesa pihak berkuasa yang berkaitan supaya menimbang secara serius usaha memulihkan fungsi kehakiman di Bangunan Sultan Abdul Samad, susulan kepentingan sejarah dan peranan berterusannya dalam warisan perundangan Malaysia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517634