Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Lambakan makanan tambahan atau suplemen yang dijual di platform dalam talian dan sering didakwa menawarkan manfaat perubatan, dikenal pasti sebagai antara cabaran utama dalam melindungi pengguna ketika tahap kesedaran kesihatan semakin meningkat.
Trend ini didorong oleh peningkatan kebergantungan orang ramai pada sumber dalam talian untuk mendapatkan maklumat kesihatan, sekali gus mempercepat penularan dakwaan keberkesanan sesuatu produk yang seterusnya memacu pembelian di luar saluran yang dikawal selia.
Ahli farmasi Adrian Toh berkata lambakan maklumat berkaitan kesihatan yang tidak disahkan di Internet meningkatkan risiko pengguna untuk terdedah kepada produk tidak sesuai atau mengambil makanan tambahan tanpa bimbingan profesional.
pic-2
“Farmasi perlu lebih berorientasikan pendidikan. Kita tidak mahu sekadar memasarkan produk dari sudut komersial, sebaliknya perlu memberikan penjelasan yang tepat dan beretika kepada pelanggan,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran video muzik Tahun Baharu Cina R Pharmacy, di sini baru-baru ini.
Toh yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif R Pharmacy, berkata keadaan itu menjadi bertambah ketara apabila pengguna semakin cenderung mendapatkan maklumat kesihatan daripada media sosial, platform digital dan alat kecerdasan buatan seperti ChatGPT sebelum membuat keputusan pembelian.
“Dulu pelanggan datang ke farmasi dan sekadar menuruti saranan yang diberikan oleh ahli farmasi. Hari ini, mereka lebih berpengetahuan, banyak bertanya dan membuat carian maklumat sendiri,” katanya.
pic-3
Toh turut mengetengahkan salah faham lazim dalam kalangan pengguna, iaitu produk yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) semestinya berkesan.
“Pendaftaran KKM hanya melibatkan aspek keselamatan dan pematuhan asas. Ia tidak menjamin sesuatu produk itu mampu merawat penyakit,” katanya, menambah perubahan tingkah laku pengguna itu menuntut farmasi memainkan peranan lebih besar sebagai pembimbing kesihatan barisan hadapan, dan bukan sekadar premis runcit.
Seorang lagi ahli farmasi Thomas See berkata kesedaran kesihatan mula meningkat sejak penularan COVID-19, dengan orang ramai memberi penekanan kepada pencegahan penyakit, khususnya menerusi pengukuhan imuniti, pengurusan berat badan dan menjaga kesihatan mental.
pic-4
Dalam konteks ini katanya pengguna perlu mendapatkan nasihat ahli farmasi, kerana tidak seperti suplemen yang dijual dalam talian, produk di farmasi tertakluk pada kawal selia kerajaan selain dilarang daripada membuat dakwaan manfaat perubatan.
“Farmasi tidak boleh mendakwa suplemen tertentu dapat merawat penyakit seperti diabetes atau kanser. Ini satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Makanan tambahan hanya alat yang menyokong. Faktor paling penting adalah perubahan gaya hidup, diet seimbang dan bersenam secara berkala, yang akan membantu mengawal paras gula dalam darah, meningkatkan metabolisme dan melancarkan peredaran darah, seiring dengan garis panduan amalan klinikal,” katanya sambil mengingatkan pengguna agar tidak bergantung semata-mata pada jenama sebaliknya menyemak kandungan bahan aktif dalam produk berkenaan.
-- BERNAMA