Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mengalami penurunan selepas merekodkan kenaikan baru-baru ini untuk dibuka rendah pada Rabu, apabila pelabur mengambil untung susulan pasaran mencapai paras tertinggi baharu dan menilai prestasi tidak menentu di Wall Street, kata penganalisis.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.91 mata kepada 1,762.34 daripada 1,771.25 ketika ditutup semalam.
Indeks itu dibuka 1.46 mata lebih rendah kepada 1,769.79.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 238 berbanding 172, manakala 344 kaunter tidak berubah, 1,995 kaunter tidak diniagakan dan 94 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan mencecah 285.14 juta saham bernilai RM176.10 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata penurunan itu mencerminkan jeda jangka masa pendek memandangkan pasaran menilai aliran meningkat baru-baru ini.
Beliau berkata FBM KLCI mengekalkan momentum positif selepas melonjak melepasi paras 1,770 pada sesi sebelum ini.
“Setakat ini bagi 2026, indeks penanda aras telah meningkat kira-kira 100 mata dan berpotensi mencapai sasaran Rakuten Trade bagi 2026 iaitu 1,810 lebih awal daripada jangkaan, disokong oleh aliran masuk dana asing yang berterusan,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata indeks itu dijangka mencapai julat 1,770 hingga 1,785 hari ini.
Dalam pada itu, Wall Street ditutup bercampur-campur menjelang musim laporan pendapatan dan banyak pihak menjangkakan keputusan pertama Rizab Persekutuan bagi kadar faedah tahun ini adalah kekal tidak berubah, katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM11.72, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.97, CIMB merosot sembilan sen kepada RM8.86 dan IHH Healthcare turun satu sen kepada RM8.70, manakala Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM14.16.
Saham paling aktif antaranya ISF Group melonjak 15.5 sen kepada 48.5 sen, V.S. Industry naik satu sen kepada 44.5 sen, TWL Holdings susut setengah sen kepada dua sen. manakala MAG Holdings dan Pharmaniaga masing-masing tidak berubah pada 17.5 sen dan 29 sen.
Antara saham paling untung, Dutch Lady Milk Industries meningkat 42 sen kepada RM33.44, Country View naik 15 sen kepada RM3.11 dan Hong Leong Financial menambah 14 sen kepada RM22.00.
Saham paling rugi termasuk Nestle merosot RM1.50 kepada RM114.10, Malaysian Pacific Industries susut 42 sen kepada RM32.80, United Plantations turun 36 sen kepada RM30.42, Petronas Dagangan kurang 30 sen kepada RM20.90 dan Petronas Gas menguncup 24 sen kepada RM18.44.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 51.58 mata kepada 12,712.50, Indeks FBM Emas turun 49.15 mata kepada 12,905.55, Indeks FBM Mid 70 kurang 14.37 mata kepada 17,699.70 dan Indeks FBM Emas Shariah menguncup 45.62 mata kepada 12,442.59 namun, Indeks FBM ACE meningkat 7.55 mata kepada 4,843.13.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 87.54 mata kepada 21,626.12, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.94 mata kepada 178.99, Indeks Tenaga kurang 0.19 mata kepada 768.32 dan Indeks Perladangan susut 40.63 mata kepada 8,397.43.
-- BERNAMA