LABUAN, 26 Jan (Bernama) -- Labuan perlu mencipta dan mengukuhkan identitinya untuk diiktiraf sebagai destinasi ekonomi yang unik serta berdaya saing, dan bukannya mencerminkan model pembangunan negeri atau wilayah lain, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui.
Katanya, pulau itu mempunyai kekuatan dan kelebihan strategik tersendiri, khususnya dalam sektor perkhidmatan kewangan antarabangsa, minyak dan gas (O&G), maritim serta logistik, yang perlu diperhalusi lagi untuk meletakkan Labuan dengan lebih jelas dalam peta ekonomi serantau dan global.
"Labuan tidak seharusnya cuba menjadi segala-galanya sekaligus. Apa yang penting ialah mencipta identiti yang mampu menonjolkan keunikan, kekuatan dan bidang khususnya supaya pelabur, perniagaan serta pelawat memahami dengan jelas kelebihan Labuan," katanya pada Majlis Makan Malam anjuran Dewan Perniagaan Cina Labuan di sini malam ini.
Perbadanan Labuan (LC), sebagai pihak berkuasa pembangunan utama pulau itu, perlu menumpukan ke arah mempercepatkan penggunaan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem penyampaian perkhidmatannya untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan serta kemudahan menjalankan perniagaan.
Langkah itu selaras dengan seruan kerajaan persekutuan ke arah pembangunan ekosistem kerajaan digital yang bertujuan mengurangkan birokrasi, meningkatkan tindak balas perkhidmatan selain mengukuhkan keyakinan pelabur, katanya.
"Pendigitalan dan AI bukan lagi satu opsyen. Ia adalah pemboleh penting bagi Labuan untuk kekal berdaya saing, cekap dan mesra pelabur. LC mesti menerajui transformasi ini dalam sistem penyampaiannya," katanya.
Lo juga berkata kesalinghubungan yang baik juga kekal sebagai faktor utama dalam pembangunan jangka panjang Labuan, mencerminkan cadangan sebelum ini yang mempertimbangkan pembinaan jambatan bagi mengubungkan Labuan ke tanah besar sebagai sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Borneo.
Sambungan sedemikian bukan sahaja akan melonjakkan pergerakan orang dan barangan, tetapi juga menjimatkan kos logistik, meningkatkan akses kepada perkhidmatan penting dan merangsang aktiviti ekonomi yang lebih meluas.
"Kesalinghubungan adalah pengubah keadaan. Cadangan jambatan Labuan di bawah rangka kerja Lebuhraya Pan Borneo akan meningkatkan integrasi Labuan dengan Sabah dan koridor ekonomi Borneo yang lebih besar," katanya.
Kerajaan persekutuan kekal komited untuk menangani cabaran pembangunan utama yang dihadapi oleh Labuan, termasuk infrastruktur, kos sara hidup serta kepelbagaian ekonomi, sambil memastikan inisiatif pertumbuhan adalah mampan dan inklusif.
Beliau berkata kerjasama erat antara agensi persekutuan, LC, pihak berkuasa negeri dan sektor swasta adalah penting bagi merealisasikan aspirasi Labuan untuk menjadi hab ekonomi yang berdaya tahan dan tersendiri dalam Malaysia serta rantau BIMP-EAGA.
--BERNAMA