PUTRAJAYA, 26 Jan (Bernama) -- Jabatan Audit Negara (JAN) melakar transformasi digital terbesar dalam sejarah penubuhannya melalui pelaksanaan sepenuhnya Pendigitalan Perkhidmatan Jabatan Audit Negara (PPJ), sekali gus mengubah landskap pengauditan sektor awam ke arah sistem berasaskan data, telus dan responsif.
Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata PPJ memanfaatkan teknologi data analitik, data raya dan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong proses pengauditan yang lebih komprehensif dan pantas, di samping menjamin integriti serta keselamatan maklumat.
"PPJ yang dibangunkan sejak dua tahun lalu kini akan dilaksanakan sepenuhnya menggunakan peruntukan yang diluluskan serta kapasiti dalaman," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan 120 Tahun JAN di sini hari ini.
PPJ telah dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis tersebut.
Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam Persekutuan dan negeri.
Mengulas lanjut, Wan Suraya berkata antara komponen utama PPJ ialah Sistem e-SelfAudit yang dilancarkan pada Februari tahun lalu, Auditor General’s Dashboard (AGD 3.0) yang akan dinaik taraf kepada versi AGD 4.0 tahun ini, Sistem Pembangunan Modal Insan (SPMI) yang telah ‘go-live’ pada Oktober 2024, Audit Data Warehouse serta Sistem eAudit 2.0 yang akan dinaik taraf kepada eAudit 3.0 tahun ini.
Beliau berkata pihaknya turut menubuhkan War Room Audit Negara, manakala setiap pejabat JAN di peringkat negeri akan menyediakan fasiliti yang sama menggunakan peruntukan sedia ada bagi menyokong inisiatif itu.
Wan Suraya menegaskan transformasi digital berkenaan menyahut aspirasi kerajaan untuk mengguna pakai teknologi dalam memperkasakan perkhidmatan sektor awam, sekali gus memperkukuh peranan JAN sebagai institusi semak dan imbang negara.
"Audit bukan untuk mencari salah, sebaliknya merupakan instrumen penting bagi memacu penambahbaikan dan mencipta impak bermakna kepada tadbir urus sektor awam.
“Dengan hanya kekuatan lebih 2,000 pegawai, JAN menjadi nadi semak dan imbang negara, memastikan 1.6 juta penjawat awam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berintegriti, demi rakyat dan negara," katanya.
Dalam pada itu, Wan Suraya berkata JAN telah selesai mengaudit kesemua 1,856 badan termasuk syarikat kerajaan melalui sistem e-SelfAudit. Hasil laporan pengauditan e-SelfAudit itu akan dibentangkan buat julung kali di Parlimen bulan depan.
Beliau turut berkata pindaan Akta Audit 1957 yang diluluskan pada 2024, bagi memberi mandat kepada Ketua Audit Negara melaksanakan susulan audit, telah memberi impak positif kepada kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
Antara impak langsung kepada rakyat, katanya, ialah hasil audit Projek Bekalan Air Luar Bandar di Sarawak pada 2024 yang memberi manfaat kepada lebih 1,400 penduduk, selain penambahbaikan jalan raya, perumahan rakyat termiskin, dan penyediaan jalur lebar di sekolah luar bandar.
Ke hadapan, Wan Suraya berkata selaras aspirasi Kerajaan MADANI, JAN akan terus melaksanakan pengauditan berimpak tinggi, termasuk menilai penghasilan semua projek dan program Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di Malaysia tahun ini.
"JAN akan terus melaksanakan pengauditan lebih berimpak tinggi bagi memastikan setiap dasar dan perbelanjaan wang awam benar- benar mencipta nilai untuk rakyat dan negara," katanya.
-- BERNAMA