JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas PTD Buat Dua Laporan Polis Berhubung Dokumen Sulit, Fitnah

26/01/2026 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan hari ini membuat dua laporan polis berhubung kebocoran dokumen perbankan milik beliau dan kenyataan fitnah yang ditularkan oleh seorang aktivis di media sosial.

Peguam beliau, Aizul Rohan Anuar berkata laporan pertama adalah berkaitan pendedahan dokumen sulit termasuk akaun perbankan dan dokumen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diklasifikasikan sebagai rahsia.

Beliau berkata penyata bank merupakan dokumen yang dilindungi di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) dan tidak sepatutnya didedahkan kepada umum.

"Kami tidak tahu sama ada ia dibocorkan oleh pihak perbankan, sebab itu Tan Sri buat laporan untuk polis siasat siapa yang membocorkannya.

"Pihak berkuasa ada akses kepada dokumen itu untuk siasatan, itu hak mereka. Tapi untuk orang biasa mendapatkan dokumen ini adalah salah di sisi undang-undang," katanya pada sidang media selepas menemani anak guamnya memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Aizul Rohan berkata laporan kedua pula membabitkan kenyataan tidak benar dan fitnah yang dibuat oleh seorang aktivis khususnya mengenai dakwaan pemakaian jam tangan mewah berjenama Patek Philippe.

Beliau menjelaskan bahawa jam tangan dipakai anak guamnya itu sebenarnya adalah jam peringatan yang dikeluarkan oleh ATM dengan tertera tulisan "Chief of Army Malaysia".

"Masa hari pertuduhan Tan Sri di mahkamah pun saya ada tengok jam dia, memang sah bukan Patek Philippe. Jadi ini satu contoh bagaimana perkara ini dimanipulasikan sehingga orang bercakap tidak tentu hala," katanya.

Beliau berkata Muhammad Hafizuddeain kini sedang mempertimbangkan secara serius untuk mengambil tindakan sivil terhadap beberapa pihak termasuk individu yang memfitnah serta institusi perbankan yang berkaitan.

Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain hadir ke IPD Dang Wangi sekitar 12.30 tengah hari tadi bagi membuat laporan berkenaan dan proses merakam keterangan dijalankan sebaik sahaja laporan dibuat.

Jumaat lepas, Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rasuah Shah Alam atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000.

Sehari sebelum itu, beliau turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur terhadap empat tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM2.12 juta.

-- BERNAMA



 

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516974