CHUKAI, 24 Jan (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh seekor tapir di Kilometer 320.5 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), selepas susur keluar Kerteh, dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata dalam kejadian pada 1 pagi itu, mangsa, Iffil Nazwa Azman, 24, yang bekerja sebagai pekerja kontrak, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dari Kerteh dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pinang Baru di sini.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, seekor tapir seberat 200 kilogram yang dipercayai keluar dari hutan berhampiran tiba-tiba melintas di lebuh raya tersebut.
"Mangsa dikatakan gagal mengelak sebelum merempuh tapir itu yang menyebabkan mangsa tercampak di atas lebuh raya terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Razi berkata mangsa kemudian dipercayai digilis sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti, mengakibatkan kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata bangkai tapir berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA