Daripada Farah Najihah Zuraimi
NAKHON RATCHASIMA (Thailand), 24 Jan (Bernama) -- Atlet berbasikal para Malaysia terus mencatat prestasi cemerlang di Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025 apabila meraih empat daripada lima pingat emas dalam acara trek hari ini.
Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin memulakan detik gemilang negara dalam acara 1km ujian masa lelaki C1-C2, meskipun berdepan masalah teknikal dengan basikalnya.
Atlet negara itu menamatkan perlumbaan dalam masa 1 minit 16.005 saat (s), menewaskan wakil Indonesia, Alana Tifan Abid (1:16.655s) yang meraih pingat perak, manakala Rimtamad Teerayut dari Thailand (1:25.237s) membawa pulang gangsa.
Mohamad Yusof bagaimanapun menunjukkan ketabahan apabila tidak gentar menghadapi tekanan, walaupun basikalnya gagal pemeriksaan akhir sebelum perlumbaan selepas bantahan dari salah satu negara peserta. Beberapa penyesuaian terpaksa dilakukan sebelum beliau dibenarkan bersaing.
“Walaupun basikal saya pada mulanya tidak diluluskan, saya tidak ambil hati dan terus fokus pada perlumbaan. Ketika saya mula mempercepatkan kayuhan, lutut kiri saya tersentuh aerobar dan menyakitkan. Saya terpaksa teruskan perlumbaan,” katanya.
Kejayaan itu menambah semangat Mohamad Yusof yang bersyukur dapat menyumbang pingat kepada negara, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya.
Beliau akan mendapatkan pemeriksaan lutut kiri yang cedera daripada doktor Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.
Kegembiraan Malaysia berterusan apabila Ahmad Ahlami Mohamad meraih emas kedua dalam acara 1km ujian masa lelaki B dengan catatan 1:06.252s, menewaskan atlet Thailand, Surachai (1:06.620s) dan rakan senegara, Mohd Khairul Hazwan Wahab (1:07.207s).
Emas ketiga disumbangkan Nur Suraiya Muhamad Zamri dalam acara 1km ujian masa wanita B dengan catatan 1: 16.203s, meninggalkan Boonmalert Watcharobon dari Thailand (1:16.254s) di tempat kedua dan Zulaika dari Indonesia (1:17.046s) meraih gangsa.
Malaysia menutup cabaran hari ini dengan emas keempat menerusi acara pecut berpasukan tandem campuran dengan Thailand dan Indonesia masing-masing meraih perak dan gangsa.
Satu-satunya kegagalan untuk meraih clean sweep berlaku dalam acara 1km ujian masa lelaki C3-C5 apabila Zuhairie Ahmad Tarmizi (1:10.425s) dan Ahmad Zharif Ahmad Nazri (1:10.490s) hanya mampu meraih perak dan gangsa, manakala emas menjadi milik atlet Thailand, Niwanti Jaturong (1:08.321s).
– BERNAMA