Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar
IPOH, 24 Jan (Bernama) -- Rangkaian hotel antarabangsa terkemuka, TUI Blue menyertai sektor pelancongan Malaysia melalui kerjasama strategik dengan The Haven Resort Sdn Bhd, mewujudkan satu daripada resort jenama hotel antarabangsa di Ipoh.
Ketua Pegawai Eksekutif The Haven Resort Sdn Bhd (The Haven) Peter Chan berkata kerjasama itu berteraskan model hibrid ‘hotel dan kediaman bertaraf lima bintang’, satu trend hospitaliti yang mendapat tarikan global dalam pembangunan berkualiti tinggi.
Matlamatnya ialah memanfaatkan rangkaian pemasaran antarabangsa TUI Blue yang luas untuk mempromosikan keunikan The Haven pada peringkat global. TUI Blue ialah cabang hotel konglomerat yang berpangkalan di Jerman, TUI Group. The Haven ialah kerjasama hotel-resort pertama mereka di Malaysia.
“Kami bukan syarikat besar dan kami tidak mempunyai sumber untuk promosi global yang luas. TUI Blue amat kagum dengan model hibrid kami, iaitu hotel dan kediaman bertaraf lima bintang serta pihak pengurusan kami,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Chan berkata menyepadukan penjenamaan global dan piawaian operasi TUI Blue dengan kepakaran pengurusan tempatan The Haven akan membantu menarik pelbagai demografi pelancong dari Eropah dan seluruh Asia.
Beliau berkata TUI Blue berhasrat untuk berkembang ke Singapura dan Malaysia sejak beberapa tahun ini, dengan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menjadi lokasi pilihan.
Bagaimanapun, katanya pihak pengurusan The Haven Resort di Ipoh telah meyakinkan mereka untuk bekerjasama dengannya berdasarkan visinya mengenai operasi dan pengurusan yang baik, sumbangan kepada masyarakat, keunikan, kreativiti dan penjenamaan.
Beliau berkata pihak pengurusan menekankan visi “perkhidmatan yang mesra” dan komited terhadap masakan yang sihat, iaitu menolak penggunaan bahan tambahan tiruan seperti monosodium glutamate (MSG) dalam penyediaan makanan.
Chan berkata resort ini berbeza melalui konsep yang memenuhi keperluan keluarga pelbagai generasi, daripada kanak-kanak hingga datuk dan nenek selain boleh diakses oleh semua kaum dan warganegara.
“Selain itu, tapak ini mesra orang kurang upaya. Pengguna kerusi roda boleh bergerak di seluruh kawasan hartanah ini.
“Tidak banyak pembangunan di dunia yang mempunyai kemudahan sedemikian. Pada masa yang sama, kami juga mempunyai kemudahan untuk badminton, tenis, skuasy, ping pong dan pickleball. Sekali lagi, tidak banyak pembangunan yang menawarkan kemudahan seluas ini,” katanya.
Terletak kira-kira 15 minit dari pusat bandar Ipoh, resort ini dikelilingi keindahan batu kapur, hutan dan tasik.
Persekitarannya yang unik telah melayakkan hartanah itu dianugerahkan ‘Best Geopark Hotel + Residence Award’ di Green and Geopark Excellence Awards 2025, mengetengahkannya sebagai antara beberapa tapak geo yang terletak berhampiran kawasan bandar di dunia.
Chan berkata kerjasama itu merupakan landasan untuk pengembangan serantau yang lebih luas, dengan pelan sedang dijalankan untuk membina model yang sama di Pulau Bintan, Indonesia.
Katanya pihak pengurusan telah meminta pihak berkuasa tempatan untuk menyokong misi jangka panjangnya menjadikan Ipoh sebagai hab pelancongan antarabangsa.
“Kami ingin menggalakkan hubungan secara langsung kami dengan alam semula jadi dan pada masa yang sama, kami sedang memperluas operasi ke Bintan dan kawasan lain di Asia,” katanya.
-- BERNAMA