POLITIK

PRK Lamag Rekod 55.16 Peratus Keluar Mengundi Setakat 3 Petang - SPR

24/01/2026 04:39 PM

KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Sebanyak 55.16 peratus atau 7,455 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag setakat 3 petang ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Mengikut pecahan daerah mengundi, Lamag mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 66.61 peratus, diikuti Balat (59.35 peratus), Buang Sayang (57.31 peratus), Bukit Garam (56.14 peratus), Usaha Jaya (54.66 peratus) dan Kota Kinabatangan (52.94 peratus).

Kesemua sembilan pusat mengundi yang mengandungi 30 tempat mengundi atau saluran itu dibuka pada 7.30 pagi tadi membolehkan 13,515 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.

Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka hingga 5.30 petang dan akan ditutup secara berperingkat mulai 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.

PRK DUN Lamag menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Ismail Ayob dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan) manakala PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon BN Mohd Kurniawan Naim Moktar, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516306