POLITIK

Masalah Penglihatan Tidak Halang Warga Emas Keluar Mengundi

24/01/2026 01:06 PM

KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Walaupun penglihatan terbatas, Ammase Baco, 66, tetap bersemangat untuk mengundi hari ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, dengan ditemani anak perempuannya. 

Beliau berkata ini kali kedua dia menunaikan tanggungjawab mengundi dengan bantuan anaknya sejak mengalami masalah penglihatan pada September lepas, selepas kali pertama berbuat demikian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 29 Nov lepas.

“Saya tidak pernah melepaskan peluang untuk mengundi setiap kali pilihan raya, walaupun dalam keadaan mata saya tidak dapat melihat akibat masalah selaput mata yang teruk. Selepas terjatuh tangga rumah, penglihatan saya mula menjadi semakin kabur dan sejak dua bulan lepas saya langsung tidak dapat melihat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam II.

Sementara itu, pengundi muda Siti Khairia Asri, 21, yang mengundi buat kali kedua, turut tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggungjawabnya pada PRK kali ini.

Siti Khairia berkata walaupun PRN baru sahaja berlangsung, itu bukan alasan bagi golongan muda sepertinya untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Parlimen Kinabatangan memiliki sebanyak 48,282 pengundi biasa yang layak mengundi pada hari ini, manakala DUN Lamag mempunyai 13,515 pengundi.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516236