KUALA NERUS, 24 Jan (Bernama) -- Pemangku Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Tengku Hazman Raja Hassan mengakui lega dengan kejayaan pasukan itu membenam UM-Damansara United 5-0 pada aksi kedua pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini malam tadi.
Pengendali kelahiran Kelantan itu berkata beliau berpuas hati dengan prestasi pemain yang berjaya mengekalkan momentum kemenangan, sekali gus menempah slot ke peringkat suku akhir.
Tengku Hazman berkata kemenangan besar itu disifatkan sebagai hadiah paling berharga dan menjadi suntikan moral untuk pemain terus mencipta kejayaan pada perlawanan akan datang.
"Sudah lama kita tidak menang besar … kali terakhir ketika menentang DPMM FC di Brunei, Ogos tahun lepas. Saya anggap kemenangan ini hadiah berharga untuk saya sebagai jurulatih interim dan suntikan semangat terhadap pemain menghadapi perlawanan dengan Selangor FC pada 1 Feb depan.
"Alhamdulillah secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan prestasi pemain. Perlawanan kali ini mereka nampak lebih ghairah untuk menjaringkan gol dan tak beri peluang kepada pasukan lawan," katanya selepas perlawanan kedua pusingan 16 saingan Piala Malaysia di SSMZA, di sini malam tadi.
Pada perlawanan itu, bekas penyerang kebangsaan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob menjadi wira skuad Penyu selepas mencipta hatrik, manakala dua lagi gol dijaringkan pemain import, Careca.
Sementara itu, pengendali skuad The City Tigers Ridzuan Abu Shah berkata perbezaan kualiti pemain import menjadi antara faktor kekalahan pasukannya kepada TFC malam tadi.
Ridzuan bagaimanapun berpuas hati dengan kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan pemain meskipun gagal mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.
"Apa yang berlaku malam ini sekurang-kurangnya saya dapat kenal pasti kelebihan dan kekurangan pemain itu sendiri.
"Perbezaan ketara pada malam ini ialah kualiti yang ada pada pemain import Liga Super dan pasukan semi Pro seperti kami, memang nampak jurangnya. Tetapi kita cuba sehabis baik dengan guna tenaga yang kita ada," katanya.
-- BERNAMA