SUKAN

Piala Malaysia: Melaka Mara Ke Suku Akhir Selepas Singkirkan Sabah

22/01/2026 11:39 PM

KOTA KINABALU, 22 Jan (Bernama) -- Melaka FC menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 5-2 selepas mengejutkan Sabah FC 3-0 pada perlawanan kedua pusingan 16 di Stadium Likas di sini malam ini.

Sebaik sepak mula, pasukan tuan rumah yang juga Naib Juara Piala FA terus melakukan asakan dan hasilnya, Gabriel Peres hampir memecah kebuntuan pada minit ke-12, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Malang bagi Sabah, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengah, Gary Steven Robbat dilayangkan kad merah apabila didapati mengasari pemain lawan yang disahkan melalui VAR pada minit akhir separuh masa pertama.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya skuad kendalian E Elavarasan yang berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-50 hasil rembatan kencang penyerang import dari Mesir Ahmed Shamsaldin, sekali gus menjadikan agregat 3-2.

Walaupun beraksi dengan kekurangan pemain, anak-anak buah Alto Linus tetap tidak berputus asa dan terus melancarkan serangan bertali arus bagi mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun, gawang skuad Badak yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat sekali lagi bolos pada minit ke-86 hasil jaringan pertahanan Melaka Che Rashid Che Halim.

Kekecewaan Sabah di halaman sendiri bertambah apabila Ahmed sekali lagi menemukan sentuhan penyudah setelah mudah merobek pintu gol lawan dari jarak dekat dan kedudukan 3-0 kekal sehingga tiupan wisel penamat.

Melaka dijangka bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir, susulan kelebihan jaringan yang besar dimiliki Harimau Selatan selepas menang 10-1 ke atas PDRM FC pada perlawanan pertama pusingan 16.

Perlawanan timbal balik antara JDT dan PDRM dijadual berlangsung di venue sama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2515759