KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Tiga individu termasuk dua pegawai Imigresen ditahan menerusi dua operasi di Johor dan Sabah pada Isnin dan semalam, selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan kemudahan permohonan Pasport Malaysia secara dalam talian.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata menerusi serbuan di sebuah premis kediaman di Simpang Rengam, Johor, pihaknya menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kesalahan memberikan perakuan palsu bagi mendapatkan Pasport Malaysia.
Beliau berkata susulan penahanan itu, operasi diteruskan di Kota Kinabalu, Sabah yang membawa kepada penahanan dua lelaki masing-masing merupakan pegawai Imigresen yang dipercayai bertindak sebagai dalang utama dan “pemudah cara” kepada sindiket berkenaan.
“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ini menawarkan perkhidmatan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) secara dalam talian kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan.
“Sindiket ini mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial dan pemohon hanya perlu menyerahkan maklumat peribadi serta gambar dengan keseluruhan urusan permohonan diuruskan sindiket dengan bayaran sebanyak RM12,000 bagi setiap naskhah PMA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata pemohon juga tidak perlu hadir ke pejabat Imigresen untuk pengambilan pasport sebaliknya, PMA yang telah siap akan dipos ke luar negara melalui perkhidmatan kurier kepada ejen terbabit.
Beliau berkata operasi terbabit ialah hasil risikan terperinci dan pemantauan berterusan selama hampir dua bulan itu turut merampas dua naskhah PMA serta dokumen-dokumen permohonan PMA secara dalam talian, yang dipercayai berkaitan secara langsung dengan aktiviti sindiket tersebut.
Zakaria berkata kesemua individu yang ditahan berusia antara 32 hingga 40 tahun itu, disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Johor dan Sabah bagi siasatan lanjut.
“Selain itu, seorang wanita warga tempatan dan seorang lagi pegawai Imigresen telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.
-- BERNAMA