KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited memenuhi keperluan setiap segmen murid, termasuk mereka yang sedang menerima rawatan di hospital, kerana akses kepada pendidikan berkualiti merupakan hak setiap individu.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata bagi memastikan murid yang menjalani rawatan tidak tercicir dalam pembelajaran, KPM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan inisiatif Sekolah Dalam Hospital (SDH).
Beliau berkata ketika ini sebanyak 20 program SDH beroperasi di seluruh negara, dengan lebih 400,000 murid telah mendapat manfaat sejak pelaksanaannya.
“Terkini, program SDH diperluas ke Hospital Seberang Jaya, sekali gus menjadi yang pertama dilaksanakan di Pulau Pinang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata usaha berterusan itu turut diterjemahkan melalui pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang memberi penekanan kepada pendidikan inklusif serta kesaksamaan akses.
Program SDH telah dilaksanakan sejak 2011.
-- BERNAMA