IPOH, 22 Mac (Bernama) -- Sebanyak 105 individu telah diperiksa secara rawak oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak yang melaksanakan operasi omnipresence di sekitar daerah Kinta, semalam.
Pengarahnya Datuk James Lee berkata operasi bermula 9 pagi itu mengambil masa selama lima jam membabitkan sembilan pegawai penguat kuasa dengan menumpukan kawasan tumpuan yang telah dikenal pasti.
"Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 105 individu telah diperiksa secara rawak bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
"Pemeriksaan ini bertujuan mengesan kehadiran warga asing tanpa dokumen sah serta memastikan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
James berkata pelaksanaan operasi tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan jabatan itu untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara khususnya ketika musim perayaan.
Beliau berkata pihaknya akan terus mempergiat operasi sedemikian dari semasa ke semasa terutama di lokasi-lokasi strategik yang berisiko tinggi selaras dengan komitmen JIM dalam menguatkuasakan undang-undang secara tegas dan berintegriti.
-- BERNAMA