ISTANBUL, 23 Mac (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata beliau mengarahkan penangguhan selama lima hari terhadap semua serangan ke atas loji tenaga dan infrastruktur tenaga Iran susulan rundingan yang disifatkannya sebagai “sangat baik dan produktif” dengan Tehran sejak dua hari lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Saya dengan sukacitanya melaporkan bahawa AS dan negara Iran telah mengadakan perbincangan yang sangat baik dan produktif sepanjang dua hari lalu mengenai penyelesaian sepenuhnya dan menyeluruh terhadap permusuhan kami di Asia Barat,” kata Trump di platform media sosialnya, Truth Social.
Beliau menambah bahawa berdasarkan “suasana dan nada” perbincangan yang mendalam, terperinci dan membina itu, yang akan diteruskan sepanjang minggu ini, beliau telah mengarahkan Jabatan Pertahanan menangguhkan semua serangan ketenteraan terhadap loji tenaga dan infrastruktur tenaga Iran selama tempoh lima hari.
Beliau berkata penangguhan itu tertakluk kepada kejayaan mesyuarat dan perbincangan yang sedang berlangsung.
-- BERNAMA-ANADOLU