KINABATANGAN, 22 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini melaksanakan proses pengumpulan serta pengagihan peralatan mengundi untuk dibawa ke 36 pusat pengundian yang mengandungi 117 saluran.
Ahli SPR Datuk Sapdin Ibrahim berkata persiapan untuk hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag itu yang akan diadakan pada Sabtu ini, berjalan lancar.
“Kita bahagikan kepada tiga zon iaitu untuk Parlimen dan DUN Lamag di Dewan Sri Lamag, bagi DUN Sukau bertempat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinabatangan manakala DUN Kuamut di Pejabat Daerah Tongod," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Sri Lamag di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus.
Sebanyak 48,526 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRK Parlimen Kinabatangan dan 13,703 pengundi bagi DUN Lamag, Sabtu ini.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis lepas.
-- BERNAMA