AM

Proses Bawa Pulang Rakyat Malaysia Berjaya, Puji Inisiatif Dan Kecekapan Kerajaan

11/03/2026 05:55 PM

SEPANG, 11 Mac (Bernama) -- Sebanyak 170 rakyat negara ini yang berjaya dibawa pulang ke tanah air menggunakan pesawat khas selepas terkandas di beberapa negara di Asia Barat susulan konflik di rantau itu, menzahirkan kelegaan dan penghargaan terhadap inisiatif kerajaan Malaysia.

Seorang koordinator logistik Mohd Tarmimi Tarmizi, 39, yang terkandas di Doha selepas penerbangan asalnya pada 7 Mac lepas dibatalkan, berkata beliau terpaksa menempuh perjalanan darat menggunakan bas selama 23 jam merentasi sempadan antarabangsa untuk ke lapangan terbang alternatif di Arab Saudi.

"Pengurusan logistik oleh pihak kedutaan Malaysia amat luar biasa, terutamanya apabila kerajaan memutuskan untuk menanggung sepenuhnya kos tiket penerbangan balik kami,” katanya kepada Bernama ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah ke Malaysia.

Mohd Idham Mohd Nor, 42, pula berkata beliau terkandas di Makkah selepas penerbangan balik ke Malaysia dibatalkan sedangkan tempoh penginapannya pula tamat pada 7 Mac dan sukar mendapat bilik penginapan baharu kerana jemaah umrah begitu padat.

"Tindakan pantas pihak perwakilan Malaysia dalam menyelaraskan pendaftaran dan pengangkutan jemaah terkandas telah memberikan kelegaan besar kepada kami di tengah-tengah kesukaran ini," kata Mohd Idham yang merupakan seorang penjawat awam.

Dalam pada itu, Radiah Hassan, 40, seorang perniaga yang berada di Tanah Suci bersama dua anaknya, turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif murni kerajaan itu.

“Ya, terima kasih kepada Perdana Menteri, kepada pihak konsulat dan pihak kerajaan Malaysia kerana bantu bawa kami semua balik ke tanah air,” katanya.

Beliau yang telah berada di Makkah sejak 24 Feb lepas, memutuskan untuk pulang lebih awal atas nasihat keselamatan daripada Konsulat Jeneral Malaysia.

"Keselamatan anak-anak adalah keutamaan saya. Walaupun keadaan di Makkah dan Madinah terkawal, ketidakpastian keselamatan ruang udara dan risiko terkandas dalam tempoh lama amat membimbangkan sekiranya penerbangan terus dibatalkan," katanya.

Seorang jemaah umrah, Hanizam Haron, 54, dari Kuala Terengganu pula berkata beliau bersama adiknya Aznita Haron, 51, terkandas hampir seminggu selepas penerbangan pulang mereka dibatalkan.

Menceritakan pengalamannya, Hanizam mengakui pada awalnya berasa bimbang apabila konflik di rantau tersebut tercetus, terutama memikirkan kemungkinan tidak dapat pulang ke tanah air menjelang Aidilfitri.

Bagaimanapun, beliau sentiasa yakin bahawa kerajaan Malaysia tidak akan membiarkan rakyatnya terkandas dalam keadaan krisis ketika berada di Tanah Suci.

"Jadi apabila kerajaan Malaysia bagi peluang untuk penerbangan ini, kami terus ambil. Saya rasa lebih selamat naik penerbangan yang diuruskan kerajaan,” katanya ketika ditemui setelah tiba di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Sementara itu, Aznita berkata beliau bersyukur kerana akhirnya dapat pulang ke tanah air selepas penerbangan asal mereka ditangguhkan hampir seminggu.

“Pada mulanya kami fikir mungkin terpaksa beraya di sana (Makkah),” katanya.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Mervin Gomez, 61, yang bekerja sebagai perunding di sebuah syarikat swasta di Doha, berkata beliau mengambil keputusan pulang lebih awal ke Malaysia susulan ketidaktentuan situasi di rantau berkenaan.

Beliau berkata perjalanannya dari Doha ke Jeddah menggunakan pengangkutan darat sebelum menaiki penerbangan khas Malaysia Airlines, berjalan lancar.

“Dari Doha kami menaiki bas ke Jeddah dan semuanya diuruskan dengan sangat baik. Semua berjalan lancar tanpa masalah.

"Saya ingin berterima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Qatar dan juga di Arab Saudi kerana membantu mengatur perjalanan kami untuk pulang ke Malaysia dengan selamat,” katanya.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan Malaysia telah berjaya melaksanakan operasi evakuasi membawa pulang 170 rakyat Malaysia yang terkandas akibat konflik di beberapa negara di Asia Barat.

Menurut MKN kesemua mereka telah dibawa pulang menerusi penerbangan khas Malaysia Airlines yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.48 tengah hari ini.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara rantau berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533165