Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
SHAH ALAM, 22 Jan (Bernama) -- Dalam dunia hiburan yang sarat ketidaktentuan, bakat dan populariti sahaja tidak lagi cukup untuk menjamin kelangsungan hidup, apatah lagi ketika keadaan ekonomi semakin mencabar sehingga penggiat seni dituntut berfikir lebih jauh dan realistik tentang masa depan.
Hakikat itu mendorong penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad, 39, untuk menetapkan hala tuju baharu dengan mengimbangi kerjaya seni dan perniagaan sebagai sumber rezeki utama selepas ini, tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
Nubhan berkata menyanyi merupakan minatnya sejak kecil, namun perniagaan pula menjadi satu keperluan yang harus diberi perhatian serius demi kestabilan hidup jangka panjang.
pic-2
Bidang ini (seni) adalah minat saya sejak kecil, sekarang saya perlu seimbangkan supaya minat saya dan perniagaan boleh bergerak seiring. Selain itu, perniagaan ini juga adalah suatu tanggungjawab yang saya perlu lakukan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas single terbaharunya, bekas pelajar Akademi Fantasia 6 itu berkata Andai Derita mengangkat kisah percintaan yang boleh dikaitkan dengan sesiapa sahaja yang melaluinya.
“Lagu ini boleh dikaitkan dengan sesiapa sahaja dan tidak berkaitan dengan kisah hidup saya. Saya adalah penyanyi yang menyanyikan lagu ini. Lagu ini dirakam sudah lama, sebelum saya menyertai Gegar Vaganza 12 (GV12) lagi.
pic-3
"Lagu ini seperti (menjadi) pembuka untuk saya kembali aktif dalam dunia nyanyian,” katanya berkongsi anak-anak dan keluarga menjadi pendorong utama untuk dirinya terus berusaha dalam bidang seni dan perniagaan.
Selain itu, bapa tiga anak tersebut berkata beliau turut bersedia jika mendapat tawaran lakonan atau pengacaraan, namun sebarang keputusan yang dibuat hendaklah berdasarkan kesesuaian masa dan komitmen sedia ada.
“Fokus saya kini adalah memastikan (kerjaya) seni dan perniagaan dapat bergerak seiring, sambil merancang kehidupan yang lebih stabil demi masa depan keluarga,” katanya.
pic-4
Ditanya perjalanannya dalam GV12, Nubhan mengakui ia merupakan pengalaman yang mencabar secara fizikal dan emosi, namun mematangkannya sebagai seorang penghibur dan individu.
Katanya kejayaan melangkah ke peringkat akhir dan menamatkan saingan di tempat ketiga sudah cukup bermakna, memandangkan persaingan sengit dan tekanan yang perlu ditempuhi sepanjang 12 minggu pertandingan berlangsung.
pic-5
“Bagi saya, jadi finalis pun sudah satu rezeki. Juara itu bonus. Yang penting saya bersyukur dengan apa yang saya dapat,” katanya.
Beliau turut mengakui berdepan pelbagai dugaan peribadi sepanjang tempoh pertandingan, namun memilih untuk tidak menjadikan masalah sebagai alasan mengalah atau berundur.
“Dengan apa benda jadi sekalipun saya tahu ia datang daripada Dia (Allah). Ini dugaan-dugaan yang Dia berikan kepada saya. Saya cuma perlu kuat. Saya tak boleh hidup dengan pelbagai alasan,” katanya.
-- BERNAMA