GAYA HIDUP

Juara GV12: Iskandar Ismail Sedia Lebar Sayap Ke Malaysia

19/01/2026 02:40 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

SHAH ALAM, 19 Jan (Bernama) -- Penyanyi kelahiran Singapura, Iskandar Ismail  menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang berlangsung penuh meriah di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini malam tadi.

Kemenangan itu melayakkan Iskandar membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, set ruang tamu, berserta trofi, sekali gus menutup tirai perjalanan yang disifatkannya sebagai antara fasa paling mencabar dalam kerjaya seninya.

Iskandar berkata kejayaan itu adalah hasil daripada kerja keras, fokus dan disiplin sepanjang 12 minggu pertandingan tersebut.

pic-2

“Alhamdulillah, malam ini semuanya berjalan lancar. Segala usaha dan persiapan yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil. 

"Saya langsung tidak menjangkakan saya akan menang kerana pada awalnya saya tidak mahu menyertai GV, namun atas dorongan isteri saya teruskan juga dan syukur muncul sebagai juara,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas konsert akhir tersebut.

Dalam konsert akhir tersebut, penyanyi berusia 47 tahun itu tampil memukau menerusi persembahan solo lagu Madah Berhelah, diikuti duet dengan penyanyi tersohor Jaclyn Victor menerusi lagu Senja Nan Merah, sebelum beraksi dalam segmen “battle” menerusi lagu Cerita Kedai Kopi serta Pink Venom bersama-sama Nubhan dan Mell Sakura.

pic-3

Beliau berkata jika arwah bapanya, R. Ismail yang merupakan penyanyi era 1970-an masih ada, pasti Allahyarham amat berbangga dengan kejayaan yang dicapainya hari ini.

"Arwah bapa antara insan yang banyak memberi semangat dan tunjuk ajar sejak awal-awal saya dalam industri ini. Kalau dia ada pasti akan peluk cium saya, kemengan ini sebenarnya untuk bapa juga," katanya.

Untuk rekod, Iskandar merupakan penyanyi ketiga dari Singapura yang bergelar juara Gegar Vaganza selepas Aliff Aziz yang menjuarai GV8 dan Hady Mirza yang muncul juara GV6 bersama-sama Naqiu.

pic-4

Mengulas hala tuju selepas GV12, bapa tiga anak itu berkata beliau kini bersedia untuk berhijrah dan melebaran karier di negara ini.

"Kalau diberi peluang saya saya mahu bekerja kuat di sini, untuk tembusi pasaran di sini, tapi saya ingin membuatnya perlahan-perlahan dan mengikut perancangan yang telah ditetapkan pihak pengurusan, Mind Order di sini.

"Setakat ini, kita sudah ada beberapa projek menanti, antaranya ‘soundtrack’ drama, duet bersama-sama penyanyi Idayu berjudul Mahal dan sebuah lagu raya," katanya.

pic-5

Dalam pada itu, naib juara GV12 menjadi milik trio dari Indonesia, Mendua manakala Nubhan meraih tempat ketiga, Mark Adam pula berada di kedudukan keempat, diikuti Mell Sakura di tempat kelima dan Ruri Repvblik di tempat keenam. 

Program itu dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Sherry Al Hadad, serta diadili oleh juri tetap, iaitu Datuk Ramli M.S, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513968