GAYA HIDUP

Kontroversi Konsert Separuh Jalan, Wali Band Bakal Adakan Konsert Khas Untuk Peminat 1 Mei

19/01/2026 10:11 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Kekecewaan peminat susulan persembahan kumpulan Wali yang dihentikan secara tiba-tiba pada segmen kedua dalam konsert RadjaWali baru-baru ini, bakal terubat menerusi penganjuran sebuah konsert khas pada 1 Mei depan.

Sebagai usaha menghargai penonton terkesan, pihak penganjur turut menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus kepada penonton yang membuat pembelian tiket konsert RadjaWali  pada 10 Jan lepas dengan lokasi persembahan kali ini lebih besar berbanding venue konsert sebelum ini di Idea Live Arena, Petaling Jaya. 

Menjelaskan lebih lanjut, wakil penganjur Impian Al Fateh Sdn Bhd Mubarak Akhtar berkata selain itu, pihaknya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan lokasi atas kecuaian dan pelanggaran persetujuan.

“Sekali lagi kami memohon maaf kepada penonton atas segala kesulitan yang berlaku dan berjanji akan menuntut keadilan demi memulihkan maruah serta hak para peminat," katanya pada sidang media penjelasan konsert itu.

pic-2

Beliau berkata tindakan menghentikan konsert secara tiba-tiba itu diambil tanpa persetujuan pihaknya selain tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan pemilik venue untuk mematikan sistem bunyi secara mengejut ketika persembahan sedang berlangsung.

"Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Negeri Selangor) menetapkan acara hiburan yang dijalankan di dalam dewan  dibenarkan beroperasi hingga 1 pagi.

“Tindakan mematikan sistem bunyi pada 12 tengah malam adalah tidak berasas dan bertentangan dengan kebenaran operasi,” katanya yang menjelaskan kesilapan itu juga bukan berpunca oleh isu artis tidak menepati waktu.

Sebelum ini media melaporkan konsert RadjaWali terpaksa dihentikan tepat  12 tengah malam selepas sistem bunyi dipadamkan secara tiba-tiba, yang seterusnya membawa kecaman teruk di media sosial oleh peminat yang tidak berpuas hati memandangkan lebih empat lagu hit belum sempat didendangkan oleh Wali. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2514319