JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas PTD Dan Isteri Akan Didakwa Di Mahkamah Sesyen Kl Hari Ini

22/01/2026 10:39 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Salwani Anuar @ Kamaruddin akan didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini berhubung kes pengubahan wang haram.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes Muhammad Hafizuddeain akan disebut di hadapan Hakim Azura Alwi manakala Salwani di hadapan Hakim Rosli Ahmad, masing-masing pada 9 pagi.

Pasangan suami isteri itu tiba secara berasingan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, masing-masing pada 8.10 pagi dan 8.18 pagi, dengan Salwani yang berkerusi roda diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam SPRM dalam kenyataan memaklumkan Hafizuddeain dan Salwani, masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Menurut SPRM, bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 58 tahun itu turut akan didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen dan akta sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Selangor pada Jumaat, manakala isterinya akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta serupa di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.

Menerusi Ops Parasit, SPRM pada 7 Jan lepas menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat, dan keesokan harinya pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman selama tiga dan enam hari.

Siasatan SPRM berkaitan kes itu bermula sejak 7 Okt 2025 dan disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.

Pada 23 Dis 2025, sepasukan pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan untuk memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.

Sementara itu, pada Khamis lepas, media melaporkan 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam selain dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2515316