AM

Raja Perlis Berkenan Masyhurkan Penamaan Semula Dua Entiti USM

22/01/2026 06:26 PM

ARAU, 22 Jan (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan memasyhurkan penamaan semula dua entiti baharu Universiti Sains Malaysia (USM) di Istana Arau, di sini hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat pada majlis pemasyhuran itu.

Hadir sama, isteri kepada Allahyarham Tun Abdullah, Tun Jeanne Abdullah dan Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed.

Dua entiti berkenaan ialah Kampus Kejuruteraan USM yang dinamakan semula sebagai Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser USM.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah penamaan semula kampus kejuruteraan itu adalah sebagai tanda penghargaan terhadap peranan dan khidmat bakti baginda selaku Canselor USM, di samping bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis.

"Penamaan semula Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser USM, yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, kepada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi ialah tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa serta legasi Allahyarham Tun Abdullah," titah baginda pada majlis itu.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah Allahyarham Abdullah memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda kanser, kesihatan awam dan penyelidikan perubatan bertaraf tinggi serta memberikan sumbangan besar kepada pembangunan institusi itu.

"Allahyarham Tun juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal dan telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada pembangunan kawasan tersebut serta sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan dan perkembangan institusi ini sebagai pusat perubatan dan pergigian termaju di utara Semenanjung Malaysia," titah baginda.

Raja Perlis bertitah baginda amat berharap supaya kedua-dua entiti yang dimasyhurkan itu akan terus memperkukuh peranan USM sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan penyelidikan serta memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Baginda bertitah penamaan semula sesebuah entiti institusi pendidikan tinggi bukan sekadar bersifat simbolik, bahkan turut mencerminkan amanah, penghargaan serta legasi yang ingin diwariskan kepada generasi akan datang. 

"Dalam hal ini, saya berharap agar universiti ini kekal berperanan sebagai institusi kemasyarakatan yang seimbang, yang menggabungkan kemajuan sains dan teknologi dengan nilai kemanusiaan, ihsan dan tanggungjawab sosial demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara," titah baginda.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2515527