SUKAN

APG 2025: Mohamad Yusof Raih Pingat Perak Acara Lebuh Raya C1-C2

22/01/2026 03:16 PM

NAKHON RATCHASIMA (Thailand), 22 Jan (Bernama) -- Atlet berbasikal negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, meraih pingat perak dalam acara berbasikal lebuh raya C1-C2 lelaki pada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Universiti Teknologi Suranaree, hari ini.

Atlet berusia 28 tahun itu menambah koleksi pingat dalam temasya tersebut selepas menamatkan saingan dengan catatan 1 jam 47.57 saat (s), hanya 0.10s di belakang pelumba Indonesia, Alana Tifan Abid yang meraih emas.

Sementara pingat gangsa diraih pelumba tuan rumah, Rimtamad Teerayut (1:59.02s).

Semalam, Mohamad Yusof membuka kempen di temasya dwitahunan itu dengan merangkul emas pertama Malaysia menerusi acara ujian masa berbasikal lebuh raya individu C1–C2 lelaki.

Dalam pada itu, bagi saingan kategori C3-C5, Zuhairie Ahmad Tarmizi memastikan kem negara meraih kedudukan podium dengan meraih pingat gangsa menerusi catatan masa 2:14.29s.

Pelumba Indonesia Sufyan Saori meraih emas (2:14:29s), sementara pelumba Filipina Lee Patrick Gerard meraih perak (2:14.29s).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2515508