PUTRAJAYA, 19 Jan (Bernama) -- OPPO Malaysia mencipta rekod kebangsaan baharu apabila perasmian jelajah Siri OPPO Reno15 5G diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penganjuran “Acara Pelepasan Belon Terbesar”, dengan melibatkan pelepasan 6,000 belon di sebuah pusat beli-belah di sini.
Pengiktirafan diberikan pada majlis penyerahan sijil oleh wakil MBOR Mohamad Nazrul Hafizi dan Edwin Yeoh kepada Ketua Pegawai Pemasaran OPPO Malaysia Monica Qin.
Rekod bersejarah itu dicapai semasa penganjuran siri jelajah yang bermula dari 13 Jan lepas hingga semalam (18 Jan), sekali gus menandakan satu detik bermakna buat OPPO Malaysia terhadap komitmen syarikat itu untuk menawarkan pengalaman jenama yang inovatif dan imersif.
“Diilhamkan oleh reka bentuk Dancing Aurora pada Siri Oppo Reno15, ia menampilkan satu acara pelepasan belon yang memukau, sekali gus mengubah lokasi berkenaan menjadi penuh warna dan bertenaga.
“Acara itu menjadi tumpuan utama siri jelajah yang menarik perhatian pengunjung dan melibatkan mereka untuk turut serta selain menerima ganjaran kejutan yang tersembunyi dalam belon terpilih,” menurut OPPO Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas acara terbabit.
Fokus utama acara itu ialah Siri OPPO Reno15 5G, yang direka untuk meningkatkan kreativiti harian melalui ciri pengimejan canggih dan perisian pintar, di samping siri jelajah itu turut diserikan dengan persembahan daripada empat artis tempatan iaitu Empty Page, Iman Troye, Kmy Kmo Luca Sicta serta Fugo.
Antara ciri unggulnya ialah kamera selfie ultra lebar 50MP yang mampu merakam momen berkumpulan dengan lebih luas serta ciri 3.5x Telephoto Vibe Portrait.
Siri berkenaan juga dilengkapi dengan AI Motion Photo Popout, yang membolehkan pengguna menghasilkan imej dinamik untuk dikongsi di media sosial dan menggunakan ColorOS 16 yang menyediakan alat harian lebih pintar seperti AI MindSpace bagi membantu pengguna mengurus jadual dan mengekalkan fokus.
“Pengiktirafan MBOR ini mencerminkan komitmen OPPO terhadap kreativiti, inovasi dan keterlibatan yang signifikan dengan pengguna,” menurut kenyataan itu.
Siri OPPO Reno 5G kini boleh didapati di seluruh negara dengan promosi ekslusif dan terhad hingga 28 Feb ini di kedai jenama OPPO serta pengedar sah.
Pelanggan yang membeli Siri OPPO Reno15 5G semasa tempoh promosi layak menerima hadiah percuma termasuk OPPO Enco Air 4 dan OPPO Enco Buds3 Pro, sementara stok masih ada.
-- BERNAMA