POLITIK

Kerjasama DUN-Parlimen Kunci Selesai Isu Infrastruktur Asas Kampung Sungai Lokan - Mohd Ismail

19/01/2026 07:33 PM

KINABATANGAN, 19 Jan (Bernama) -- Mohd Ismail Ayob yakin kerjasama erat antara pemimpin di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen daripada blok kerajaan mampu menyelesaikan masalah infrastruktur asas yang dihadapi penduduk DUN Lamag.

Justeru, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag itu menyeru pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sungai Lokan memilih pemimpin yang mewakili kerajaan negeri dan pusat bagi memudahkan penyaluran peruntukan demi pembangunan berterusan.

"Penyelesaian kepada masalah ini adalah dengan memilih calon daripada parti kerajaan supaya suara rakyat dapat dibawa ke peringkat DUN dan juga Parlimen… demikian juga masalah perumahan yang perlu diberi perhatian oleh ahli Parlimen.

“Itu sebabnya kita perlu memilih calon parti kerajaan bagi kerusi Parlimen Kinabatangan daripada BN iaitu Mohd Kurniawan Naim Moktar," katanya semasa program santai bersama calon DUN Lamag di Kampung Sungai Lokan di sini hari ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa usaha menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk kampung berkenaan yang selama ini bergantung kepada tadahan air hujan, akan direalisasikan dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Telupid merangkap Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Jonnybone J. Kurum berkata adalah satu kerugian besar sekiranya pengundi DUN Lamag memilih wakil pembangkang memandangkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri lebih stabil serta mempunyai agenda pembangunan yang jelas menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau turut menyeru pengundi di PDM itu memberikan mandat kepada calon BN bagi memastikan kesinambungan pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari pengundian awal manakala hari pengundian pada Sabtu ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2514266