KULIM, 19 Jan (Bernama) -- Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kulim-Mahang di sini semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mutiara, Sungai Kob pada 5.55 petang tadi.
Solat jenazah dihadiri kira-kira 700 jemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Al Fateh Taman Mutiara, Sungai Kob, Zulfikri Salleh.
Terdahulu, jenazah Muhammad Syazwan Mohd Surodjidin, 25, serta dua anaknya, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2, tiba di rumah ibunya di Taman Mutiara pada 3.59 petang sebelum dibawa ke masjid 10 minit kemudian.
Semalam, media melaporkan tiga beranak itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta jenis Perodua Viva dinaiki mereka bertembung dengan Proton S70 yang dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
Lelaki berusia 27 tahun yang memandu Proton S70 itu dilaporkan selamat dan mengalami cedera ringan, bagaimanapun kenderaan dipandunya terbakar.
-- BERNAMA