DUNIA

EU Akan Adakan Mesyuarat Tergempar Susulan Ancaman Tarif Greenland Oleh Trump

19/01/2026 11:30 AM

LONDON, 19 Jan (Bernama-Anadolu) -- Majlis Eropah akan mengadakan mesyuarat luar biasa dalam masa terdekat bagi membincangkan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan tarif berkaitan Greenland, kata presiden badan itu pada Ahad.

"Memandangkan kepentingan perkembangan terkini dan demi menyelaraskan lagi tindakan, saya telah memutuskan untuk memanggil mesyuarat luar biasa Majlis Eropah dalam beberapa hari akan datang," kata Antonio Costa menerusi hantaran di X, lapor Anadolu Ajansi.

Beliau berkata negara anggota Kesatuan Eropah (EU), selepas melakukan rundingan, "mengesahkan semula komitmen teguh kami" terhadap perpaduan, undang-undang antarabangsa, integriti wilayah dan kedaulatan negara, serta solidariti bersama Denmark dan Greenland serta kepentingan rentas Atlantik yang dikongsi dalam keamanan dan keselamatan di Artik, terutamanya melalui NATO.

Costa menambah bahawa para anggota juga mengesahkan semula penilaian bersama mereka bahawa tarif tersebut "akan menjejaskan hubungan rentas Atlantik dan tidak serasi dengan perjanjian perdagangan EU-AS," serta kesediaan mereka untuk mempertahankan diri daripada sebarang bentuk paksaan dan terus bekerjasama secara membina dengan AS dalam isu kepentingan bersama.

Ini susulan kenyataan Presiden AS Donald Trump pada Sabtu bahawa Washington akan mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom, Belanda dan Finland bermula 1 Feb, yang akan meningkat kepada 25 peratus pada bulan Jun, melainkan satu perjanjian dicapai untuk apa yang beliau panggil sebagai "pembelian lengkap dan menyeluruh Greenland" oleh AS.

Pemimpin Eropah menolak ancaman tarif tersebut dan mengulangi solidariti bersama Denmark.

Terdahulu pada Ahad, lapan negara Eropah berkenaan mengeluarkan kenyataan bersama yang mengecam ancaman AS tersebut dan mengesahkan semula komitmen mereka terhadap keselamatan Artik serta kedaulatan negara.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513998