AM

Rapid On-demand Laksana Kadar Tambang Tetap RM2 Mulai 1 Feb Ini

19/01/2026 02:41 PM

PETALING JAYA, 19 Jan (Bernama) -- Rapid On-Demand (ROD) akan melaksanakan struktur tambang tetap berkuat kuasa 1 Feb 2026, yang menyaksikan peralihan daripada fasa promosi RM1 kepada model harga kekal.

Ketua Jabatan Perancangan dan Strategi Prasarana Malaysia Berhad Sharul Azwa Abd Rani berkata kadar tambang baharu itu turut melibatkan pemegang pas My50, Rapid Kota, Rapid Kembara dan Rapid Keluarga.

“Kadar semasa sebenarnya adalah tambang promosi RM1… jadi, tambang promosi ini akan berakhir seiring dengan tempoh POC (Pembuktian Konsep)... bermula 1 Feb 2026, tambang tetap akan dilaksanakan,” katanya pada sesi taklimat media mengenai kemas kini perkhidmatan ROD di Menara Prasarana di sini hari ini. 

Beliau berkata Prasarana Malaysia Berhad merancang menambah sebanyak 300 unit van elektrik (EV) ke dalam sistem perkhidmatan ROD secara berperingkat mulai akhir 2027 hingga penghujung tahun 2028 bagi memperluas liputan dan memperkukuh operasi perkhidmatan itu.

Sharul Azwa berkata daripada jumlah itu, sebanyak 130 unit van EV akan ditempatkan di Lembah Klang manakala 170 lagi di Pulau Pinang selari dengan perancangan penambahan zon operasi masing-masing.

“Di Lembah Klang, penambahan melibatkan 22 zon baharu manakala di Pulau Pinang sebanyak 23 zon akan ditambah,” katanya pada sesi taklimat media itu.

Beliau berkata setakat ini, perkhidmatan ROD merangkumi keseluruhan 82 zon, dengan 71 zon beroperasi di Lembah Klang serta 11 zon di Pulau Pinang, dan Prasarana turut memberi perhatian terhadap keperluan golongan kurang upaya dalam penambahbaikan perkhidmatan itu termasuk dari segi ciri operasi serta perancangan masa hadapan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2514091