Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin, disokong oleh anggaran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh daripada jangkaan sebanyak 5.7 peratus pada suku keempat 2025, menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia yang berterusan.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.0540/0640 berbanding dolar AS daripada 4.0555/0605 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bagaimanapun, Indeks Dolar AS (DXY) berada dalam aliran meningkat, dengan mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Beliau berkata kemungkinan pilihan raya yang lebih awal di Jepun telah menyebabkan yen rendah berikutan ketidaktentuan pasaran yang meningkat.
Bagaimanapun, katanya anggaran awal KDNK Malaysia bagi suku keempat 2025 yang lebih kukuh daripada jangkaan menunjukkan bahawa ekonomi kekal berdaya tahan.
“Selain itu, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis ini dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa.
“Oleh itu, ringgit berbanding dolar AS dijangka berada antara RM4.05 dan RM4.06 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound, yang meningkat kepada 5.4328/4462 daripada 5.4332/4399 sebelum ini.
Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5728/5793 daripada 2.5637/5670 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan merosot berbanding euro kepada 4.7120/7236 daripada 4.7076/7134 dicatatkan minggu lepas.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 240.0/240.7 daripada 240.1/240.5.4 semasa ditutup pada Jumaat lepas manakala berubah sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.83/6.85 daripada 6.83/6.84 sebelum ini.
Ia turut merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9525/9932 daripada 12.9115/9332 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1502/1585 daripada 3.1479/1521.
-- BERNAMA