Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan menganjurkan Festival Titih Pusaka 2026, sebuah acara seni budaya berskala besar yang mengetengahkan keunikan serta kepelbagaian warisan seni tradisional Malaysia dari 23 hingga 25 Jan ini.
Aswara dalam kenyataan hari ini memaklumkan festival yang dijangka menarik 10,000 pengunjung itu akan diadakan di Kampus Aswara dan Padang Merbok di sini, bagi mengangkat seni budaya sebagai produk pelancongan bernilai tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Katanya pengisian festival itu merangkumi pameran seni dan kraf tradisional, demonstrasi oleh tokoh seni dan Adiguru, bengkel serta sesi masterclass, Pertandingan Dikir Barat Mega, forum dan wacana akademik, selain persembahan pentas melibatkan pelajar, alumni serta kumpulan kesenian profesional tempatan.
“Pelbagai disiplin seni diketengahkan, termasuk tari, muzik, teater, animasi, penulisan, seni visual, sastera dan filem pendek, sekali gus memperlihatkan keluasan landskap seni di Malaysia serta potensi integrasi antara seni tradisi dan kontemporari,” menurut kenyataan itu.
Festival itu turut menjadi platform pengiktirafan penggiat seni melalui penganugerahan Anugerah Bakat Muda Harapan Seni Tradisi Festival Titih Pusaka Aswara 2026 dan Anugerah Pempengaruh Seni Tradisi Festival Titih Pusaka Aswara 2026.
Aswara berkata karnival turut berfungsi sebagai platform penyelidikan dan pemindahan ilmu melalui interaksi langsung antara pelajar, akademik, adiguru dan tokoh seni tempatan serta antarabangsa.
Menurut kenyataan itu, festival berkenaan juga dirangka sebagai platform strategik untuk memperkukuh kesinambungan pengetahuan seni budaya tradisional serta memperluas kefahaman masyarakat terhadap seni, budaya dan warisan negara secara menyeluruh.
-- BERNAMA