DUNIA

Polis Keluarkan Amaran Susulan Penemuan Bom Di Ibu Negara Australia

15/01/2026 07:02 PM

CANBERRA, 15 Jan (Bernama-Xinhua) -- Pasukan polis di Wilayah Ibu Negara Australia (ACT) mengeluarkan amaran kepada orang ramai selepas peranti bahan letupan ditemukan berhampiran laluan pejalan kaki di barat laut Canberra, ibu negara Australia, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan pada Rabu malam, Polis ACT berkata anggotanya telah bertindak balas terhadap beberapa insiden penemuan bom paip di kawasan pinggir bandar Belconnen, kira-kira 10 kilometer barat laut pusat bandar Canberra, pada Selasa dan Rabu.

Bercakap pada sidang media pada Khamis, Pemangku Detektif Inspektor Anna Wronski berkata sebanyak 11 peranti ditemukan dan sebahagiannya telah meletup.

“Sebahagian peranti yang ditemukan telah meletup sebelum polis menjumpainya, manakala sebahagian lagi masih belum meletup,” katanya.

Wronski berkata polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyentuh mana-mana peranti lain yang mungkin ditemukan mereka.

Beliau berkata setakat ini tiada laporan kecederaan atau kerosakan harta benda akibat letupan itu dan semua peranti telah dimusnahkan.

Orang ramai turut dinasihatkan melaporkan sebarang barangan atau tingkah laku yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512902