EKONOMI

Hungary Bangunkan Indeks Pembangunan Berharmoni Bagi Ukur Kesejahteraan Rakyat

15/01/2026 12:45 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, Jan 15 (Bernama) -- Hungary membangunkan Indeks Pembangunan Berharmoni (H2DI) sebagai rangka kerja global baharu bagi mengukur pembangunan mampan dan kesejahteraan masyarakat melangkaui keluaran dalam negara kasar (KDNK). 

Pesuruhjaya strategi ekonomi dan program ‘Teach for Hungary’ kerajaan Hungary, Dr László György berkata indeks itu dibangunkan bagi memberikan gambaran yang lebih komprehensif mengenai kemajuan negara dengan menggabungkan enam tonggak utama yang melangkaui keluaran ekonomi. 

“KDNK ada kekangannya. Ia penting, tetapi ia tidak mencukupi. Masyarakat kita erlu membangun secara harmoni. 

“Itulah sebabnya kami mewujudkan Indeks Pembangunan Berharmoni untuk mengukur pembangunan dan kesejahteraan mampan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas di sebuah hotel di sini pada Selasa (13 Jan). 

Bekas menteri negara dan ketua ahli ekonomi Hungary itu, yang sedang dalam lawatan rasmi selama lima hari ke Malaysia bermula 11 hingga 15 Jan berkata H2DI ialah rangka kerja yang dibangunkan oleh Hungary dan diperkenalkan kepada Malaysia untuk kajian lanjut. 

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua negara sedang mengkaji kesesuaian mereka untuk kemungkinan diterima pakai dan ia belum lagi menjadi petunjuk rasmi di mana-mana negara. 

Beliau turut menekankan bahawa H2DI mengimbangi prestasi ekonomi dengan kemampanan kewangan jangka panjang, perlindungan alam sekitar, perpaduan sosial, daya maju demografi dan pembangunan berasaskan kerja dan pengetahuan. 

“Anda tidak boleh menjalani kehidupan yang lebih baik hari ini dengan mengorbankan generasi akan datang.

“Pembangunan mestilah mampan dari segi kewangan dan alam sekitar, meritokrasi, kohesif secara sosial dan berdaya maju dari segi demografi,” tambahnya.

Dr György berkata beliau bekerjasama dengan institusi di Malaysia, termasuk Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Institut Asia-Eropah di Universiti Malaya, dan Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, untuk meneroka cara indeks itu dapat diperhalusi dan disesuaikan dengan konteks Malaysia. 

Mengikut H2DI, Malaysia menunjukkan prestasi yang baik sejak 25 tahun yang lepas dalam bidang kecanggihan ekonomi, kemampanan alam sekitar, keamatan modal insan dan perpaduan sosial. 

“Kami bersetuju bahawa KDNK sahaja tidak dapat mencerminkan prestasi sebenar sesebuah masyarakat.

“Kami akan terlibat dalam membangunkan Indeks Pembangunan Berharmoni dengan lebih lanjut dan melihat pengajaran daripada Hungary yang boleh dilaksanakan mengikut konteks bagi Malaysia,” katanya. 

Menurut Dr György, H2DI berkait rapat dengan transformasi ekonomi Hungary berikutan peralihannya daripada komunisme pada tahun 1990-an, ketika negara itu kehilangan hampir 30 peratus pekerjaan sebelum memulakan program itu sejak 2010.

Ia bertujuan membangunkan semula kelas menengahnya menerusi penciptaan peluang pekerjaan, perindustrian semula dan pembangunan kemahiran. 

Beliau berkongsi bahawa di bawah Perdana Menteri Viktor Orbán, Hungary memperkenalkan sistem sosial berorientasikan sumbangan, yang menghubungkan kebajikan, insentif cukai dan faedah keluarga dengan pekerjaan, latihan dan penyertaan aktif dalam masyarakat. 

“Perubahan yang paling penting bukanlah pendapatan diperoleh orang ramai sebanyak tiga atau emapat kali ganda berbanding sebelumnya.

“Ia adalah maruah yang mereka berjaya peroleh semula dengan menyumbang kepada masyakat dan dapat menyara diri sendiri dan keluarga mereka,” kata Dr György, yang juga penulis utama kajian semula bertajuk ‘Indeks Pembangunan Berharmoni : Pendekatan Baharu untuk Mengukur Pembangunan Alam Sekitar, Sosial dan Ekonomi’. 

Beliau berkata Hungary membiayai sistem tersebut dengan mengenakan cukai ke atas keuntungan luar biasa dan aktiviti untung atas angin, terutamanya dalam sektor yang menerima manfaat daripada kejutan luaran seperti pandemik COVID-19 dan perang Rusia-Ukraine. 

“Kami mengenakan cukai ke atas mereka yang mendapat keuntungan tambahan daripada kejutan luaran dan menggunakan sumber tersebut untuk menyokong keluarga pekerja, perniagaan kecil dan mereka yang sanggup menjalani latihan dan bekerja,” jelasnya. 

Dr György menyatakan bahawa Hungary dan Malaysia mempunyai persamaan, termasuk pergantungan kepada pelaburan langsung asing, asas perkilangan yang kukuh, dan sektor utama seperti automotif, pertanian dan pemprosesan makanan.

Ia sekali gus menjadikan kedua-dua negara rakan kongsi semula jadi dalam membangunkan model pertumbuhan yang dipacu inovasi dan inklusif. 

Beliau turut mengulas mengenai kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap pasaran buruh, dengan menyatakan bahawa kerajaan mesti bertindak balas dengan dasar yang jelas dan tepat pada masanya, untuk memastikan kemajuan teknologi menyokong agensi manusia dan perpaduan sosial. 

Dalam pada itu, Dr György berada di Malaysia bagi mempromosikan buku terbaharunya, bertajuk ‘The Middle-Class Revolution: A Meritocratic Strategy for the 21st Century’, yang diterbitkan oleh World Scientific.

Buku tersebut menggariskan model ekonomi Hungary yang berasaskan sumbangan, dan berpusatkan kelas menengah serta memperkenalkan H2DI sebagai alat untuk menilai kesan intervensi dasar terhadap kesejahteraan. 

Sepanjang lawatannya, Dr György mengambil bahagian dalam beberapa siri program anjuran Kedutaan Hungary di Kuala Lumpur, termasuk pertemuan dengan badan pemikir ekonomi, universiti dan agensi inovasi.

Program itu termasuk perbincangan dengan Institut Asia-Eropah di Universiti Malaya, MIER, ISIS Malaysia, Cyberview dan Pemecut Penyelidikan Malaysia untuk Teknologi dan Inovasi (MRANTI), serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan bertemu Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512620