AM

Gajah Liar Ditangkap Di Baling Dipindahkan Ke Lokasi Selamat

14/01/2026 04:43 PM

BALING, 14 Jan (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah hari ini memindahkan seekor gajah liar yang sebelum ini ditangkap di Kampung Charok Kapas, Kupang dekat sini ke habitat selamat.

Pengarah Jabatan Perhilitan Kedah Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata operasi memindahkan gajah itu membabitkan kira-kira 23 petugas terdiri daripada kakitangan Jabatan Perhilitan Kelantan, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah serta empat anggota Polis Diraja Malaysia Kedah.

“Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perhilitan Kedah berjaya menangkap seekor gajah liar jantan pada 7 Jan. Hari ini, sekitar 8 pagi tadi, pembinaan ‘loading bay’ dan penarikan gajah liar telah dilakukan.

“Operasi pemindahan hari ini melibatkan dua ekor gajah denak bernama Sanum dan Rambai dan proses pemindahan selesai kira-kira 12.30 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dr Abdul Malek berkata kemunculan gajah jantan dengan ukuran saiz tapak kaki sepanjang 41 sentimeter (cm) itu dikesan sejak Disember tahun lepas dan pelbagai usaha mengusir haiwan itu telah dibuat namun tidak berhasil.

Beliau berkata pihaknya menerima beberapa aduan daripada penduduk setempat mengenai kehadiran gajah itu sejak tiga minggu lepas dan gajah jantan itu dipercayai datang dari kawasan Hutan Simpan Gunung Inas dekat sini.

Menurut Dr Abdul Malek, gajah liar itu berada dalam keadaan sihat dan pemeriksaan serta pemantauan telah dilakukan oleh petugas Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

“Pemasangan mikrocip dan pengukuran morfologi juga telah dilakukan. Gajah jantan itu akan dibawa dan dilepaskan ke habitat selamat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512384