DUNIA

Pemimpin Dunia Titip Mesej Harapan, Keamanan Dan Kemakmuran Ekonomi Untuk 2026

01/01/2026 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Ketika dunia melangkah ke tahun 2026 selepas menempuh tahun 2025 yang mencabar dengan peperangan, konflik dan krisis iklim, pemimpin  dunia menyambut tahun baharu dengan mesej harapan, keamanan, kemakmuran ekonomi, pembangunan dan pembaharuan.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semangat kebersamaan untuk memperkukuh perpaduan nasional, sambil menggesa rakyat untuk terus memberi makna kepada agenda reformasi serta memastikan kemakmuran negara dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

“Kerajaan MADANI akan terus bekerja dengan amanah, keberanian dan ihsan, beriltizam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kejujuran demi memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat serta menjamin masa depan negara yang lebih terjamin dan sejahtera,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pemimpin ASEAN lain turut menzahirkan harapan untuk tahun yang lebih baik meskipun berdepan tahun 2025 yang mencabar.

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berkata walaupun kerajaan meneroka peluang baharu di luar negara, fokus utama tetap terarah kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat di peringkat domestik.

“Kejayaan ekonomi adalah wasilah untuk mencapai matlamat. Apa yang penting ialah setiap warga Singapura mendapat manfaat daripada kemajuan negara,” katanya sambil menyatakan bahawa di sebalik pergolakan luaran, Singapura mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 4.8 peratus pada 2025.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto, yang menyambut Tahun Baharu bersama penduduk terjejas bencana di Kabupaten Tapanuli Selatan, Sumatera Utara, menyampaikan harapannya agar rakyat menyambut 2026 dengan semangat dan keyakinan walaupun sedang berdepan kesukaran.

“Semoga tahun baru 2026 membawa harapan baru, menghadirkan kembali senyuman dalam kalangan masyarakat, serta memulihkan kehidupan warga agar dapat bangkit dan melangkah maju,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul pula mengharapkan pembaharuan, kekuatan dan kestabilan buat negaranya untuk tahun baharu ini. Beliau mengakui ramai rakyatnya telah mengharungi kepayahan serta ketidaktentuan sepanjang tahun lepas, namun memuji daya tahan dan semangat kental masyarakat Thailand.

Di Laos, Presiden Thongloun Sisoulith menzahirkan harapan agar 2026 menjadi tahun dengan keyakinan baharu dan keamanan yang berkekalan buat penduduk dunia, lapor Vientiane Times.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara Myanmar,  Jeneral Kanan Min Aung Hlaing menyuarakan harapan untuk kemakmuran pada 2026.

Beliau menyeru semua warganegara agar melayani satu sama lain dengan kasih sayang dan muhibah demi kesejahteraan kesatuan itu, seperti yang dipetik daripada laporan The Global New Light of Myanmar.

Dari 'Negara Matahari Terbit', Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi berikrar untuk menjadikan Kepulauan Jepun lebih kuat dan makmur demi membangkitkan harapan. Sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun, beliau komited untuk memastikan generasi muda mempunyai keyakinan terhadap masa depan negara.

Di Korea Selatan, Presiden Lee Jae Myung menyasarkan lonjakan besar dalam bidang politik, ekonomi dan diplomasi.

“Matlamat kerajaan berpaksikan rakyat ini adalah jelas. Kami akan menderap dengan bertenaga bak Kuda Merah tahun ini - tahun pertama dengan lonjakan kemaraan yang hebat untuk Republik Korea” katanya dalam perutusan Tahun Baharu seperti dilaporkan Agensi Berita Yonhap. 

Presiden China Xi Jinping pula menggesa negara dan rakyatnya mengambil langkah kukuh bagi mempromosikan pembangunan berkualiti tinggi, memperdalam reformasi, dan menulis lembaran baharu dalam "keajaiban China".

“Tahun 2026 menandakan bermulanya Rancangan Lima Tahun Ke-15. Marilah kita mara ke hadapan umpama kuda dengan keberanian, kecergasan dan tenaga untuk memperjuangkan impian serta kebahagiaan kita,” katanya menurut teks ucapan yang dikongsikan oleh agensi berita Xinhua.

Perdana Menteri Britain Keir Starmer berkata pada 2026, kerajaannya akan merealisasikan janji pembaharuan, termasuk lebih banyak pembiayaan untuk komuniti setempat dan menambah hab kesihatan baharu bagi membolehkan rakyat merasai perubahan positif.

Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron menyatakan tiga impiannya untuk rakyat Perancis pada 2026 iaitu perpaduan, kekuatan dan harapan. Beliau turut menyeru kepada penyatuan, terutamanya dalam menentang perkauman dan antisemitisme, lapor France24.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507945