KANGAR, 1 Jan (Bernama) -- Sebanyak 20,085 unit rumah nelayan telah dibaik pulih manakala 265 unit rumah bina baharu berjaya disiapkan di seluruh negara menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) sejak diperkenalkan pada 2012.
Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Hamdan Mamat berkata PKPN membantu mereka yang tidak memiliki rumah agar dapat tinggal dalam persekitaran lebih selamat dan selesa sekali gus menjamin kesejahteraan keluarga nelayan.
“Sepanjang 2025, sebanyak 280 unit rumah melibatkan kerja bina baharu dan baik pulih telah disiapkan sepenuhnya di seluruh negara menerusi PKPN dengan peruntukan RM10 juta sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan kebajikan golongan nelayan berpendapatan rendah.
“Pencapaian ini merangkumi bantuan perumahan kepada nelayan yang layak di pelbagai negeri manakala bagi 2026 pula, kerajaan memperuntukkan RM10 juta lagi bagi pelaksanaan projek melibatkan 380 unit rumah nelayan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah nelayan di bawah PKPN negeri Perlis di Kuala Sanglang dan Kampung Wai, Kuala Perlis dekat sini hari ini.
Sementara itu di Perlis, Hamdan berkata sebanyak tujuh unit rumah nelayan telah diluluskan di negeri ini pada tahun lepas dengan nilai peruntukan RM263,000 melibatkan dua unit bina baharu dan lima unit baik pulih.
-- BERNAMA