JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Lemas, Adik Lelaki Hilang Di Pantai Sura Tengah

01/01/2026 05:08 PM

DUNGUN, 1 Jan (Bernama) -- Seorang wanita lemas manakala adik lelakinya hilang akibat dihanyutkan arus di Pantai Sura Tengah di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata kejadian pada 10.27 pagi itu berlaku ketika mangsa Nor Baizura Shafie, 39, dan adiknya Mohd Fazir, 37, berkelah bersama 13 ahli keluarga mereka. 

“Kejadian dipercayai berlaku apabila Nor Baizura hampir lemas ketika mandi dan Mohd Fazir kemudian cuba menyelamatkannya.

“Bagaimanapun usaha menyelamat kakaknya itu gagal sebelum kedua-dua mangsa dikatakan hanyut sebelum tenggelam,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini. 

Beliau berkata mayat Nor Baizura ditemukan pada 10.54 pagi oleh anggota penyelamat dan dihantar ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut. 

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Penolong Kanan Penguasa Bomba Shahrizal Shamsudin berkata 10 anggotanya digegaskan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 10.27 pagi. 

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan berjaya menemukan mangsa pertama kira-kira 25 minit kemudian.

"Pasukan penyelamat berdepan kesukaran dalam menjalankan pencarian berikutan ombak besar dan arus yang kuat," katanya.

Shahrizal berkata operasi SAR dengan bantuan pihak Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sedang giat dijalankan bagi mengesan Mohd Fazir.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507939