AM

Tourism Malaysia Perluas Geran GSPC Kepada Kapal Persiaran

01/01/2026 11:42 AM

GEORGE TOWN, 1 Jan (Bernama) -- Tourism Malaysia akan memperluas skop Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC) bagi merangkumi sektor kapal persiaran mulai tahun ini sebagai langkah strategik menggalakkan lebih banyak ketibaan pelancong antarabangsa ke negara ini melalui laluan laut.

Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin berkata sebelum ini geran berkenaan hanya memfokuskan penerbangan sewa khas, namun potensi besar industri kapal persiaran mendorong kerajaan memperluas insentif itu.

"Selama ini Tourism Malaysia memang ada geran untuk penerbangan charter (sewa khas), tetapi tidak untuk cruise (kapal persiaran), jadi mulai 2026 kami akan memperluas skop geran itu supaya pengusaha kapal persiaran, operator atau ejen pelancongan yang membawa kapal persiaran ke Malaysia, khususnya Pulau Pinang boleh memohonnya.

"Jumlah keseluruhan peruntukan geran ialah RM50 juta bagi menyokong kedua-dua sektor penerbangan dan kapal persiaran, namun tiada pecahan khusus ditetapkan untuk industri kapal persiaran," katanya kepada pemberita selepas program sambutan pelancong kapal persiaran di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) hari ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Di Pulau Pinang, sambutan turut diadakan serentak di dua lagi pintu masuk utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Butterworth.

Program sambutan TMM2026 hari ini merupakan sebahagian daripada inisiatif serentak Tourism Malaysia di 55 pintu masuk strategik seluruh negara, termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan hab pengangkutan utama, bagi menyemarakkan semangat hospitaliti rakyat Malaysia serta meningkatkan kesedaran awal terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Yeoh yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang berkata meskipun nama geran itu masih kekal sebagai GSPC, skop pelaksanaannya kini diperluas bagi merangkumi kemasukan pelancong melalui laut.

Beliau berkata langkah itu selari dengan usaha menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai antara hab utama kapal persiaran di rantau ini, sekali gus menyokong sasaran peningkatan ketibaan pelancong berbelanja tinggi.

Tourism Malaysia, katanya turut menyasarkan hampir satu juta pelancong kapal persiaran tiba ke negara ini melalui Pulau Pinang, sempena kempen TMM2026 berdasarkan peningkatan semula industri kapal persiaran antarabangsa serta usaha berterusan kerajaan memperkukuh sektor terbabit.

Beliau berkata bagi 2026, pihaknya turut menjangkakan sebanyak 170 ketibaan kapal persiaran antarabangsa ke Pulau Pinang, meningkat berbanding kemasukan 120 kapal di negeri itu pada 2025.

''Pulau Pinang kekal sebagai antara destinasi utama kapal persiaran di Malaysia dengan rekod sekitar 1.5 juta penumpang cruise pada 2024, sekali gus membuktikan potensi besar negeri itu dalam sektor pelancongan maritim dan tahun lepas kita terima 700,000 penumpang kapal persiaran tiba di negeri ini," katanya.

Mengulas aspek promosi, Yeoh berkata Tourism Malaysia akan terus mempergiat promosi digital, kolaborasi bersama pempengaruh dan penganjuran festival makanan bagi mengetengahkan pelancongan gastronomi, khususnya di Pulau Pinang yang sinonim sebagai syurga makanan.

“Pulau Pinang memang terkenal dengan keunikan makanannya dan kita mahu menggalakkan kreativiti supaya hidangan tradisional dapat dipersembahkan secara lebih moden tanpa menjejaskan identiti asalnya,” katanya.

Sementara itu, pelancong dari Eropah, Brant Morris, 54, berkata dia merancang perjalanan khusus ke Pulau Pinang selepas melihat cadangan makanan menerusi media sosial.

“Saya lihat begitu banyak video tentang makanan jalanan di Pulau Pinang dan saya ingin mencubanya terutama makanan kegemaran tempatan seperti char kuetiau dan asam laksa,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507854